Skip to main content
Ayah tidak sempat saksikan kejayaan, Muhammad Zuhaili graduan UMPSA dedikasi Anugerah Kecemerlangan Perodua buat arwah

Ayah tidak sempat saksikan kejayaan, Muhammad Zuhaili graduan UMPSA dedikasi Anugerah Kecemerlangan Perodua buat arwah

PEKAN, 3 November 2026 – Setiap butir keringat dan lelah seorang bapa yang membanting tulang di petak sawah serta kecekalan ibu seorang Pembantu Makmal sekolah akhirnya terbayar manis di pentas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21.

Muhammad Zuhaili Othman, 27, membuktikan status anak sulung daripada empat beradik bukanlah sekadar gelaran keluarga, melainkan satu mandat besar untuk mengubah nasib keluarga sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Perodua.

Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dengan Kepujian itu menamatkan pengajiannya dengan cemerlang apabila meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 serta mengekalkan rekod bersih menerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut.

Namun, detik kemuncak yang diraikan penuh bangga ini terselit sayu apabila insan yang menjadi tulang belakang perjuangannya, Allahyarham Othman  Ahmad, 56, telah kembali ke rahmatullah pada 1 September 2026, hanya beberapa minggu sebelum sempat menyaksikan anak sulungnya menggenggam segulung ijazah.

Mengimbas detik diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij itu, Zuhaili mengakui emosinya tersentuh mengenangkan arwah bapanya.

"Saat pertama kali dimaklumkan mengenai anugerah ini, perasaan gembira bercampur sebak kerana wajah arwah ayah terus terbayang di ruang mata. 

“Arwah tidak sempat melihat saya di atas pentas, tetapi saya yakin arwah bangga di sana. 

“Segala penat lelah arwah mengusahakan sawah dan berkebun untuk menyekolahkan saya tidak pernah saya lupakan," katanya sebak.

Menurut anak jati Alor Setar, Kedah itu, anugerah berkenaan disifatkan sebagai hadiah peribadi buat ibunya, Norzaida Kassim@Md Rejab, 48, seorang pembantu makmal sekolah yang tidak pernah putus membasahi bibir dengan doa dan memberi sokongan moral.

"Hasrat paling utama saya kini adalah untuk melihat ibu bahagia. 

“Beliau menjaga dan mendidik kami sejak kecil tanpa mengeluh. 

“Sebagai anak sulung, pencapaian ini bukan sekadar lambang kejayaan peribadi, sebaliknya amanah untuk menjadi teladan terbaik buat tiga orang adik saya agar percaya tiada apa yang mustahil jika disertai usaha dan redha ibu bapa," tambahnya lagi.

Kecemerlangan Zuhaili di menara gading tidak hanya terhenti di atas kertas peperiksaan semata-mata. 

Melalui inisiatif Pembelajaran Berteraskan Kerja (Work-Based Learning - WBL) selama setahun di syarikat multinasional berprestij, Robert Bosch Semiconductor Manufacturing Sdn. Bhd., keupayaan teknikal beliau terus mencuri tumpuan industri.

Beliau berjaya membangunkan pelbagai inovasi sistem pengautomasian, termasuk papan pemuka masa nyata (Real-Time Dashboard) dan sistem pengesahan kompetensi digital (Training Qualification System - TQS) yang kini menjadi penanda aras di loji pengeluaran berkenaan. 

Kepakaran tersebut membuka jalan cerah apabila beliau terus diserap bekerja sebagai Jurutera Pembuatan tetap di syarikat terbabit sejurus tamat latihan industri.

Berpegang pada prinsip ‘berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa bersyukur’, Zuhaili berikrar akan terus memberikan sumbangan terbaik dalam arena automasi industri sempadan tinggi demi membanggakan keluarga serta membalas budi universiti tercinta.

Disediakan Oleh: Rosidah Hassan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia Dan Proses (FTKKP)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri