Skip to main content
Bangkit daripada hampir berputus asa, Muhamad Izzuddin raih anugerah kecemerlangan akademik

Bangkit daripada hampir berputus asa, Muhamad Izzuddin raih anugerah kecemerlangan akademik

PEKAN, 3 November 2026 – Pernah hampir berhenti belajar kerana sukar menyesuaikan diri dengan bidang pilihannya, Muhamad Izzuddin Nordin, 21 akhirnya menamatkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77 dan empat kali Anugerah Dekan berturut-turut.

Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) itu terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu yang berasal dari Batu Pahat, Johor kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dengan Kepujian di UMPSA.

Ibunya, Nor Habibah Bakar, 55 merupakan suri rumah, manakala bapanya, Nordin Lamsah, 54, bekerja sebagai operator kilang.

Di sebalik pencapaian akademiknya, perjalanan beliau tidak sentiasa mudah kerana beliau pernah hilang semangat dan terfikir untuk berhenti belajar kerana gagal menyesuaikan diri dengan bidang yang dipilih. 

Namun katanya, beliau mengumpul kekuatan dan meneruskan pengajian sedikit demi sedikit sehingga berjaya menamatkan diploma.

“Saya mampu bertahan dalam satu bidang yang pernah saya cintai dan dalam masa yang sama pernah saya benci.

“Saya turut berdepan masalah kesihatan pada awal dan pertengahan semester serta menjelang peperiksaan akhir,” ujarnya. 

Berkenaan pemilihannya sebagai penerima anugerah, beliau menceritakan pada mulanya beliau tidak sedar dirinya terpilih. 

“Ketika diminta mengesahkan kehadiran ke konvokesyen, saya tidak melihat nama anugerah itu dan berbelah bahagi untuk hadir kerana keluarganya mempunyai urusan penting. 

“Pada penghujung bulan September, ketika menguruskan pembayaran dan mencari skrol konvokesyen, baharulah saya terpandang nama anugerah tersebut.

“Mata saya terus bergenang, terduduk dan tidak mampu berkata-kata,” katanya. 

Beliau pernah berdoa agar dikurniakan Hadiah Emas Fakulti, lalu menyifatkan anugerah yang diterima sebagai hadiah istimewa yang lebih besar daripada apa yang dipinta dan ibunya sebagai penyumbang terbesar kejayaannya. 

Ujarnya, setiap kali menghadapi kuiz, ujian atau peperiksaan akhir, ibu akan mendoakan kejayaan dirinya. 

“Terima kasih kepada keluarga, pensyarah, rakan-rakan dan rakan sekerja yang membantu serta menyokongnya sepanjang pengajian,” katanya. 

Ketika pengajian diploma, beliau tidak memegang jawatan dalam kelab atau persatuan kerana memilih untuk mengutamakan akademik, memandangkan jadual pengajian yang padat. 

Namun, beliau menyertai aktiviti santai seperti Fun Run dan aktiviti teknikal APAS Robot.

“Saya berpandangan pembelajaran akademik turut membentuk disiplin, kerjasama, kepimpinan, sikap saling memahami dan kebolehan berhujah. 

“Kemahiran itu bukan hanya diperoleh melalui kokurikulum, malah boleh dibina dalam proses pembelajaran dan tugasan berkumpulan.

“Projek tahun akhir saya ialah ‘penjepit lengan robotik’ yang direka dan dibina menggunakan pemodelan serta percetakan 3D,” katanya. 

Projek itu jelasnya mengintegrasikan servomotor DC dan sistem kawalan Arduino untuk menggerakkan objek pada paksi-X,” katanya. 

Beliau turut memperoleh persijilan teknikal dalam pengenalan kepada robot mobil autonomi melalui APAS Robot.

Beliau pernah menjalani latihan industri di Jabatan Kejuruteraan Projek dan Penyelenggaraan, DRB-HICOM Operasi Mitsubishi Motors di Pekan, Pahang. 

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menimba ilmu di bawah bimbingan pensyarah yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan nasihat, termasuk selepas peperiksaan, demi memastikan mahasiswa terus memperbaiki prestasi akademik.

“Suasana kampus di Pekan dan Paya Besar yang tenang, ditambah pula dengan sikap pensyarah di FTKPM yang mesra serta terbuka untuk berbincang, menjadikan pengalaman pengajian saya lebih bermakna.

“Bagi saya, ilmu yang diperoleh sepanjang berada di universiti merupakan antara perkara paling berharga yang akan terus menjadi bekalan dalam kehidupan.

“Prinsip hidup saya ialah ilmu adalah permata kerana ilmu bukan sahaja membuka jalan kepada kejayaan, malah menjadi panduan untuk terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Beliau juga berharap mendapat peluang untuk terus menimba ilmu hingga ke peringkat doktor falsafah dan membantu orang lain yang pernah hilang semangat atau jatuh di tengah perjalanan seperti yang pernah saya alami.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada FTKPM kerana menamakannya sebagai wakil penerima anugerah, serta kepada Jabatan Kejuruteraan Projek dan Penyelenggaraan DRB-HICOM Operasi Mitsubishi Motors atas sokongan rakan sekerja ketika menjalani latihan industri. 

Kepada pelajar yang masih berjuang, beliau berpesan supaya tidak sekadar meletakkan sasaran untuk lulus, sebaliknya berusaha merebut peluang dan ilmu yang ditawarkan. 

“Saya berharap UMPSA terus maju, mendengar suara pelajar dan terbuka kepada penambahbaikan demi kebaikan bersama,” katanya ketika mengakhiri perbualan. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri