Bapa dan anak kongsi pentas konvokesyen
GAMBANG- 29 Oktober 2024 - Seorang Penyelia Projek tidak menyangka dapat berkongsi hari bersejarah apabila menerima ijazahnya serentak dengan bapanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Muhammad Hafiy Asma’i Mohd Azizi, 24 merupakana graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) manakala bapanya Mohd Azizi Abu Naim, yang juga ahli politik ialah graduan Master Eksekutif Operasi dan Pengurusan Projek.
Menurut anak kelahiran Gua Musang Kelantan ini, beliau gembira dan teruja apabila berkongsi pentas yang sama dengan ayahnya untuk meraikan hari yang penuh sejarah ini.
“Sejarah yang bermakna ini sangat isitimewa buat kami sekeluarga.
“Saya berasa sangat bangga dan bahagia kerana dapat berkongsi saat kejayaan dengan orang yang selama ini memberi inspirasi dan sokongan.
“Saya telah mulakan pengajian di UMPSA dengan Diploma Kejuruteraan Awam dan kemudian menyambung pengajian di peringkat ijazah juga di UMPSA,” ujarnya.
Namun kali ini katanya, beliau bertuah kerana dapat bergraduasi bersama ayah saya.
“Ayah bukan sahaja duduk di kerusi penjaga untuk menyaksikan kejayaan saya, malah turut naik ke pentas sebagai graduan.
“Selain itu, kejayaan terbesar saya sepanjang belajar di UMPSA ialah memperoleh beberapa kali Anugerah Dekan semasa pengajian ijazah.
“Prinsip saya, kita perlu menikmati kegagalan kerana ia sebenarnya adalah satu kejayaan kita dalam menjalani sesuatu proses untuk mencapai sesuatu yang diingini,” katanya.
Tambah beliau lagi, dirinya juga selalu berpegang pada konsep menghargai waktu di usia muda dengan meraih kejayaan.
“Saya berhasrat untu kemnyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah.
Manakala bapanya, Mohd Azizi Abu Naim pula berkata tujuan asal beliau untuk menyambung pengajian adalah untuk memberi suntikan semangat kepada ke semua anaknya agar jangan mudah putus asa dalam pelajaran dan terus menuntut ilmu hingga hujung usia.
“Pengajian yang lebih tinggi bukan sahaja memberi ilmu dalam bidang tertentu tetapi juga membuka peluang untuk membina kemahiran berfikir secara kritis, mengurus masa dengan baik, dan menghadapi cabaran yang bakal datang dengan lebih matang,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 199 views