Belum konvo Haikal Najmi sudah 'disambar' gergasi industri, bukti keberkesanan WBL UMPSA
PEKAN, 3 November 2026 - Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL) terbukti menjadi pemacu utama dalam melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Melalui pendekatan strategik ini, universiti berjaya mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability) yang sangat tinggi, iaitu mencecah 99.1 peratus.
Di bawah inisiatif ini, pelajar menerima pendedahan industri secara langsung di mana mereka tidak hanya belajar teori di dalam dewan kuliah semata-mata, malah ditempatkan di dalam industri sebenar sehingga tempoh satu tahun untuk mengendalikan projek serta tugasan operasi harian.

Pendekatan itu membuka pintu rezeki dan mengubah masa depan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Haikal Najmi Ibrahim, 24, apabila melangkah keluar dari Dewan Tuanku Canselor (DTC) bukan lagi sebagai 'pencari kerja', sebaliknya sudah pun memegang jawatan tetap di syarikat minyak dan gas terkemuka antarabangsa, SLB OneSubsea.
Mengimbas kembali perjalanannya, Haikal Najmi menyifatkan tempoh satu tahun menjalani WBL sepanjang tiga tahun setengah pengajian di UMPSA sebagai batu lonjakan terbesar yang mematangkan keperibadian dan kemahiran profesionalnya.
"Pengalaman WBL ini dibahagikan kepada dua fasa penting.
“Bagi enam bulan pertama, saya diberi pendedahan untuk melaksanakan Projek Tahun Akhir (FYP) secara terus di premis syarikat.
“Di sana, gerak kerja saya dibimbing rapi oleh Jurulatih Industri (Industrial Coach) di lapangan serta dipantau oleh pensyarah UMPSA selaku Tutor Akademik (Academic Tutor),” ujarnya.
Katanya, untuk tempoh enam bulan kedua, saya menyambung latihan industri di syarikat yang sama bagi mendepani operasi sebenar.
Alhamdulillah, berkat ketekunan dan kesungguhan membuktikan kemampuan diri, saya ditawarkan jawatan secara tetap pada bulan terakhir latihan dan kini terus berkhidmat di situ," katanya penuh syukur.
Kisah kejayaan Haikal Najmi mencerminkan matlamat utama WBL dalam memperkukuh peningkatan kompetensi profesional penuntut.
Sepanjang bergelar pelatih industri, graduan dilatih secara intensif untuk mendepani cabaran tempat kerja sebenar, membina kemahiran insaniah (soft skills), serta menguasai teknologi terkini bagi memenuhi kriteria ketat yang dicari oleh majikan berprofil tinggi.
Jelas Haikal Najmi lagi, bimbingan dwi-mentor melibatkan Jurulatih Industri dan Tutor Akademik universiti memberi keyakinan tinggi kepada penuntut agar tidak berasa kekok atau mengalami kejutan budaya di alam pekerjaan sebenar.
"Melalui program ini, kita bukan lagi berfikir seperti seorang pelajar semata-mata, sebaliknya dilatih berfikir dan bertindak seperti seorang jurutera profesional yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah operasi industri.
"Segala penat lelah membahagikan masa antara tugasan akademik dan tanggungjawab di tempat kerja terbayar apabila saya dapat menghadiahkan pekerjaan impian ini kepada ibu bapa pada hari penuh bersejarah ini," tambahnya lagi.
Kejayaan penyerapan terus pelajar WBL ke sektor industri membuktikan kurikulum teknikal berorientasikan amali di UMPSA bukan sekadar melahirkan pemegang ijazah, bahkan melahirkan tenaga mahir berimpak tinggi yang sentiasa menjadi buruan industri tempatan dan multinasional.
Disediakan Oleh: Rosidah Hassan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses
- 12 views
Reports by: