Skip to main content
Bijak urus tekanan kunci kejayaan Kew Winson raih Anugerah Naib Canselor UMPSA

Bijak urus tekanan kunci kejayaan Kew Winson raih Anugerah Naib Canselor UMPSA

PEKAN, 21 Oktober 2026 - Mengimbangi tuntutan akademik yang mencabar bukanlah suatu tugas yang mudah, namun bagi graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kew Winson, keupayaan mengurus emosi dan tekanan secara bijak menjadi tunjang utama kejayaannya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) hampir sempurna, 3.99 hingga berjaya meraih Anugerah Naib Canselor di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21. 

Lebih membanggakan, anak muda yang berusia 24 tahun serta kelahiran Taiping, Perak ini turut mengekalkan rekod cemerlang apabila menerima Anugerah Dekan selama tujuh semester berturut-turut sepanjang pengajiannya di institusi berkenaan. 

Winson yang kini berkhidmat sebagai Junior Product Licensing di Yenher Agro-Products Sdn. Bhd. berkata, cabaran paling ketara semasa bergelar penuntut adalah mengendalikan beberapa tugasan serta projek penyelidikan yang bertindih pada satu-satu masa. 

“Kunci penyelesaian kepada situasi getir itu terletak pada disiplin diri, pengurusan masa sistematik dan kecekapan membendung tekanan daripada menjejaskan mentaliti. 

"Saya percaya setiap individu mempunyai kaedah pembelajaran yang tersendiri. 

“Oleh itu, saya berusaha mencari kaedah yang paling serasi agar pembelajaran menjadi lebih berkesan. 

"Pada masa yang sama, saya belajar mengawal emosi, mengurangkan tekanan melampau terhadap diri sendiri serta mengelakkan tabiat berfikir secara berlebihan (overthinking),” ujarnya. 

Tambahnya, sering kali kita mendengar tanggapan segelintir pihak bahawa generasi muda atau 'Gen Z' ini cepat ‘koyak’ atau berputus asa.  

“Hakikatnya, kita tidak boleh cepat mengalah sekiranya benar-benar mahu berjaya.

"Tidak dinafikan, ada ketikanya kita melalui fasa sukar dan berasa lelah. 

“Menangislah, tidurlah atau ambillah masa seketika untuk berehat, namun selepas itu kita wajib bangkit semula dengan semangat  baharu," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini turut memegang prinsip hidup untuk sentiasa menyempurnakan amanah pada waktu yang tepat sambil menitikberatkan work-life balance demi kesihatan fizikal dan mental. 

Meluangkan masa santai dengan menonton filem dan mendengar muzik menjadi cara pilihannya untuk melepaskan lelah selepas seharian menelaah pelajaran. 

Kecemerlangan Winson tidak hanya terbatas di dalam dewan kuliah. 

Kejayaan penyelidikan itu turut terserlah menerusi projek tahun akhir (FYP) yang dilaksanakan di bawah bimbingan penasihat akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad, sehingga berjaya diangkat untuk diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Ecological Genetics and Genomics.

Selain itu, beliau turut memenangi pingat perak dalam 16th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITReX), meraih Anugerah Produk Stellar serta berpeluang menyertai program mobiliti antarabangsa ke Yogyakarta, Indonesia. 

Winson mendedikasikan kejayaan ini kepada ibunya, Kwa Sheue Ping, dan mendiang bapanya, Kew Yook Pin, yang sentiasa menjadi pendorong utama hidupnya.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa setiap titik peluh dan pengorbanan yang disulami keikhlasan pasti membuahkan hasil manis. 

Ujarnya, ia bukan sahaja menjadi penutup tirai yang indah buat perjalanan dirinya di UMPSA, malah menyuntik semangat untuk terus berbakti dalam industri pembuatan demi membahagiakan keluarga tercinta. 

Oleh: NOR SALWANA MOHAMMAD IDRIS, PUSAT PEMBANGUNAN KELESTARIAN (SDC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri