Chan Sew Nee raih Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden LJM, bukti kesungguhan membina kejayaan
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kesungguhan dalam menuntut ilmu, disiplin diri dan kecekalan menghadapi cabaran menjadi antara faktor kejayaan graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Chan Sew Nee, 24, yang terpilih menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian itu berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78 sepanjang pengajian, selain menerima Anugerah Dekan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademiknya.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan itu kini memulakan kerjaya sebagai Jurutera Junior di AT&S, sekali gus menandakan permulaan perjalanan profesionalnya dalam bidang kejuruteraan.
Kecemerlangan beliau turut terserlah menerusi kejayaan meraih pingat emas dalam pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2026 bersama rakan sepasukan melalui projek inovasi bertajuk ‘From Frond to Fodder’.
Menurut Chan Sew Nee, kejayaan tersebut merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya di UMPSA, terutama apabila pasukannya berjaya memperoleh pengiktirafan dalam pertandingan yang menghimpunkan pelbagai idea inovatif.
“Pengalaman ini mengajar saya supaya tidak terlalu cepat meragui kemampuan diri sendiri.
“Selagi kita berusaha, bekerjasama dan bersedia untuk belajar, kita juga berpeluang mencapai sesuatu yang membanggakan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelia projek, Dr. Noraziah Abu Yazid, serta rakan sepasukannya, Muhammad Khawarizmi, atas bimbingan dan kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.
Di sebalik pencapaian akademik dan inovasi yang diraih, Chan Sew Nee menyifatkan keluarga, khususnya ibunya, Mek Woon A/P Eh Korn, sebagai sumber inspirasi dan kekuatan utama sepanjang menempuh pengajian.
Ibunya yang bekerja sebagai suri rumah dan pengasuh bayi sentiasa berusaha membantu menampung kos pengajiannya, manakala bapanya, Chan Eh Boo, merupakan seorang mekanik yang kini telah bersara.
Menurutnya, pengorbanan dan sokongan keluarga menjadi pendorong untuk terus tabah, khususnya ketika berhadapan dengan cabaran pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia yang memerlukan pemahaman mendalam, pemikiran analitikal dan kemahiran menyelesaikan masalah.
“Ketika saya kehilangan motivasi atau berasa ingin berputus asa, ibu sentiasa memberikan kata-kata semangat dan mengingatkan saya supaya terus berusaha.
“Saya percaya kejayaan ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi hasil sokongan, pengorbanan dan kebaikan ramai orang yang hadir dalam perjalanan hidup saya,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan adik-beradik, rakan-rakan dan para pensyarah yang sentiasa memberikan bantuan serta bimbingan sepanjang pengajian.
Sepanjang berada di UMPSA, Chan Sew Nee bukan sahaja memberikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah aktif dalam kegiatan kokurikulum dan persatuan pelajar.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Kelab Espansia, iaitu kelab bahasa dan budaya Sepanyol, selain menjadi ahli publisiti IEMUMPSASS.
Penglibatan tersebut memberikan peluang kepadanya untuk membangunkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa yang penting dalam mendepani cabaran alam pekerjaan.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran di UMPSA yang menggabungkan pengetahuan teori, kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal membantu pelajar mengaplikasikan ilmu dalam penyelesaian masalah sebenar.
“Pendedahan melalui tugasan, projek tahun akhir, latihan industri dan pertandingan inovasi turut memperkukuh keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritis, bekerjasama dan menyesuaikan diri dengan keperluan industry,” tambahnya.
Beliau turut menghargai kemudahan universiti dan komitmen para pensyarah dalam membimbing pelajar sepanjang pengajian, sekali gus membantu membentuk graduan yang bukan sahaja mempunyai asas akademik yang kukuh, malah memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia profesional.
Mengulas pemilihannya sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden LJM, Chan Sew Nee melahirkan rasa syukur dan terkejut kerana tidak menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut.
Baginya, anugerah itu bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian akademik, malah mencerminkan sokongan dan pengorbanan pelbagai pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kejayaannya.
Beliau berharap pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus meningkatkan kompetensi diri, mengembangkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan serta menyumbang kepada masyarakat melalui ilmu dan pengalaman yang diperoleh.
Dalam pada itu, beliau turut berhasrat untuk membalas jasa ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban demi memastikan kejayaannya dalam pendidikan.
Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan kepada para pelajar agar tidak mudah membandingkan pencapaian diri dengan orang lain dan sentiasa yakin terhadap potensi masing-masing.
“Setiap orang mempunyai perjalanan dan cabaran yang berbeza.
“Jika kita belum mencapai sesuatu yang diinginkan, itu tidak bermakna kita tidak mampu berjaya.
“Teruskan berusaha, jangan takut untuk meminta bantuan dan hargai orang yang sentiasa menyokong kita.
“Kejayaan mungkin mengambil masa, tetapi setiap langkah kecil yang kita ambil tetap bermakna,” katanya.
Kejayaan Chan Sew Nee bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 membuktikan bahawa kecemerlangan akademik, penglibatan kokurikulum dan ketabahan menghadapi cabaran merupakan elemen penting dalam membentuk graduan yang bersedia melangkah ke alam profesional serta menyumbang kepada pembangunan industri dan masyarakat.
Oleh: WALLID WAHIDI HAMZAH, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 11 views
Reports by: