Skip to main content
Dari LRT Laluan Ampang ke Metro Mekah, Saiful Ezani terus cipta kecemerlangan

Dari LRT Laluan Ampang ke Metro Mekah, Saiful Ezani terus cipta kecemerlangan

PEKAN, 3 November 2026 – Bermula sebagai seorang juruteknik, kemudian meneroka bidang perundangan sebelum membina kepakaran dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan, perjalanan kerjaya Saiful Ezani Ibrahim selama lebih dua dekad membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya hadir melalui satu laluan yang lurus.

Setiap pengalaman yang dilalui menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang membentuk dirinya sebagai seorang profesional yang sentiasa bersedia menyesuaikan diri, menerima cabaran baharu dan meningkatkan kompetensi.

Daripada mengendalikan aspek keselamatan operasi LRT Laluan Ampang sehingga diberi kepercayaan menyokong operasi keselamatan sistem metro ketika musim haji di Mekah, Arab Saudi, perjalanan Saiful Ezani memperlihatkan bagaimana pengalaman industri mampu membuka peluang untuk seseorang terus berkembang dalam kerjaya.

Kesungguhan beliau dalam pembangunan diri dan pembelajaran sepanjang hayat kini mendapat pengiktirafan apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Profesional/Eksekutif) bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21. 

Saiful Ezani kini berkhidmat sebagai Penolong Pengurus, Projek HSE/Pematuhan dan Tata Kelola Korporat HSE di Prasarana Malaysia Berhad.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam menyelia pematuhan aspek Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) bagi pelaksanaan projek rel, bas dan infrastruktur, sekali gus memastikan setiap operasi memenuhi keperluan kawal selia dan piawaian keselamatan organisasi.

Perjalanan Saiful Ezani dalam bidang HSE semakin berkembang apabila beliau menyertai Rapid Rail Sdn. Bhd. pada tahun 2015 sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Sub-Unit HSE Rel bagi LRT Laluan Ampang.

Hampir sembilan tahun bersama Rapid Rail memberikan beliau pengalaman luas dalam pengurusan keselamatan pengangkutan awam, termasuk pelaksanaan audit dan pemeriksaan tempat kerja, pengurusan keselamatan kontraktor, latihan keselamatan, penyiasatan insiden serta pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS).

Namun, antara pengalaman yang paling menonjol dalam perjalanan profesionalnya ialah apabila beliau dipilih untuk menyokong operasi keselamatan Al-Mashaaer Al-Mughaddassah Metro Southern Line di Makkah, Arab Saudi, ketika musim haji.

Peluang tersebut membawa pengalaman beliau melangkaui sempadan negara, sekali gus memberikan pendedahan kepada pengurusan keselamatan sistem pengangkutan rel dalam persekitaran antarabangsa.

“Peluang terlibat dalam operasi keselamatan Metro di Mekah merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya saya.

“Ia memberikan pendedahan kepada persekitaran operasi yang berbeza dan mengajar saya tentang pentingnya disiplin, kerjasama serta pematuhan terhadap aspek keselamatan,” katanya.

Pengalaman daripada LRT Laluan Ampang hingga ke Metro Mekah menjadi antara pencapaian penting yang memperkukuh pengetahuan dan kepakaran beliau dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pada bulan Julai 2024, Saiful Ezani meneruskan kerjayanya di Prasarana Malaysia Berhad dengan memberikan khidmat nasihat serta sokongan teknikal HSE kepada pasukan projek, kontraktor dan unit perniagaan.

Di sebalik kepakaran yang dibina dalam bidang HSE, perjalanan kerjaya Saiful Ezani sebenarnya bermula dalam bidang yang berbeza.

Berbekalkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dengan pengkhususan dalam Kejuruteraan Robotik dari Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), beliau memulakan kerjaya sebagai Juruteknik Kanan dan Ketua Syif di Jabatan Penyelenggaraan, Canon Opto (M) Sdn. Bhd.

Selepas beberapa tahun dalam bidang teknikal, beliau mengambil langkah berbeza dengan meneroka bidang litigasi dan guaman sebelum akhirnya membina kerjaya dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Walaupun melalui beberapa perubahan bidang, pengalaman terdahulu tidak pernah menjadi sesuatu yang sia-sia. 

Sebaliknya, pendedahan kepada bidang teknikal dan perundangan memberikan beliau perspektif yang lebih luas dalam memahami operasi, pematuhan dan pengurusan risiko.

Bagi memperkukuh pengetahuan dalam bidang yang diceburi, beliau turut mengikuti Program Sijil Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Selain itu, beliau mengikuti pelbagai latihan berkaitan ergonomik, analisis insiden, Train-The-Trainer (TTT), pengendalian sisa terjadual, keselamatan bekerja di tempat tinggi dan audit dalaman.

Kesediaan untuk meneroka bidang baharu dan terus meningkatkan kemahiran menjadi antara elemen penting yang membentuk perjalanan profesional Saiful Ezani sehingga kini.

Selepas lebih 21 tahun membina kerjaya, Saiful Ezani terus memperlihatkan bahawa pengalaman yang luas bukanlah alasan untuk berhenti menimba ilmu.

Katanya, dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah, pengetahuan dan kemahiran perlu terus diperkukuh agar seseorang profesional mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, keperluan industri dan cabaran semasa.

“Bagi saya, pengalaman bekerja bukan bermakna kita sudah mengetahui segala-galanya. 

“Industri sentiasa berubah dan kita juga perlu berubah seiring dengannya.

“Sebab itu saya percaya proses pembelajaran perlu diteruskan tanpa mengira usia atau berapa lama kita sudah bekerja,” katanya.

Semangat tersebut seiring dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat yang menekankan kepentingan pembangunan ilmu, kemahiran dan kompetensi secara berterusan, khususnya dalam kalangan golongan profesional yang sedang bekerja.

Pemilihan Saiful Ezani sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Profesional/Eksekutif) menjadi satu pengiktirafan bermakna terhadap perjalanan pembelajaran dan pembangunan profesional beliau.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Saiful Ezani melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pemilihannya sebagai penerima anugerah berkenaan.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima pengiktirafan ini. 

“Ia bukan sahaja menjadi satu pencapaian peribadi, tetapi turut memberikan semangat kepada saya untuk terus meningkatkan ilmu dan kompetensi diri.

“Saya berharap perjalanan ini dapat memberikan inspirasi kepada mereka yang sedang bekerja supaya tidak berhenti belajar dan terus berusaha mencapai kejayaan,” ujarnya. 

Daripada seorang juruteknik kepada pengalaman dalam bidang perundangan, seterusnya membina kepakaran dalam HSE sehingga berpeluang menyokong operasi keselamatan Metro di Mekah, setiap fasa kerjaya membawa pengalaman dan pengajaran yang berbeza.

Perjalanan Saiful Ezani menjadi bukti bahawa kejayaan bukan sekadar diukur melalui tempoh pengalaman atau kedudukan dalam kerjaya, tetapi juga melalui kesediaan seseorang untuk terus belajar, memperbaiki diri dan berani meneroka peluang baharu.

Lebih dua dekad dalam industri bukanlah penghujung perjalanan buat Saiful Ezani. 

Sebaliknya, segala pengalaman yang dikumpulkan menjadi bekalan untuk beliau terus melangkah, mengembangkan potensi diri dan memberikan sumbangan yang lebih bermakna dalam bidang yang diceburi.

Disediakan Oleh: Ainatun Nadrah Nordin,  Komunikasi Korporat Umpsa Advanced 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri