Dharshica Darini raih Anugerah Kecemerlangan BASF PETRONAS Chemicals 2026
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kecemerlangan akademik yang disertai penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan pendedahan industri melayakkan graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dharshica Darini A/P Mohan, menerima Anugerah Kecemerlangan BASF PETRONAS Chemicals 2026 bersempena Majlis Konvokesyen UMPSA 2026.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 serta menerima Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
Kejayaan tersebut melengkapkan perjalanan akademiknya selama enam tahun di UMPSA, bermula dengan Diploma Kejuruteraan Kimia sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama.
Menurut Dharshica, beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi ketika memohon anugerah berkenaan kerana menyedari ramai pelajar lain turut mempunyai pencapaian akademik dan penglibatan yang membanggakan.
“Apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini, saya berasa sangat terkejut, terharu dan bersyukur.
“Saya sedar bahawa setiap usaha, pengorbanan dan kesukaran yang dilalui sepanjang pengajian akhirnya membawa saya ke tahap ini.
“Saya amat menghargai dorongan pensyarah yang menggalakkan saya memohon anugerah ini, khususnya penyelia Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP), Dr. Ts. Rozaimi Abu Samah dan Dr. Ashwin Charles Benedict yang memberikan keyakinan kepada saya untuk mencuba,” katanya.
Selain kecemerlangan akademik, penerima Biasiswa YTL Cement bagi tempoh 2023 hingga 2026 itu turut memanfaatkan peluang latihan industri untuk menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan amalan sebenar dalam sektor pembuatan.
Semasa menjalani latihan industri di Slag Cement Sdn. Bhd., Port Klang, Dharshica memperoleh pengalaman dalam operasi pembuatan simen, termasuk analisis kualiti sanga mentah dan simen, proses pengisaran serta pengendalian peralatan dan jentera loji.
Pengalaman tersebut menjadi asas kepada Projek Penyelidikan Prasiswazah beliau bertajuk Effects of Grinding Time on the Physical and Chemical Properties of Raw Slag, yang mengkaji pengaruh tempoh pengisaran terhadap sifat fizikal dan kimia sanga mentah.
Beliau turut mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan kimia menerusi IDP dengan membangunkan reka bentuk loji konseptual bagi penghasilan 8,000 tan setahun 2-metiltetrahidrofuran (2-MeTHF) menggunakan tandan kosong kelapa sawit sebagai bahan mentah.
Projek yang mengetengahkan potensi penggunaan sisa industri kelapa sawit untuk menghasilkan produk bernilai tambah itu turut membawa pasukannya terpilih sebagai salah satu daripada dua pasukan yang mewakili universiti dalam Pertandingan Reka Bentuk Loji Kejuruteraan Kimia IEM ke-14.
Menurut Dharshica, pendekatan pembelajaran UMPSA yang menekankan reka bentuk proses, simulasi kejuruteraan dan penyelesaian masalah memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori dalam pembangunan penyelesaian kejuruteraan.
Pengalaman pembelajaran itu turut diperkaya melalui penglibatan dalam Institution of Engineers, Malaysia (IEM) UMPSA Student Section.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai bendahari bagi sesi 2023/2024 serta terlibat dalam penganjuran program, pengurusan kewangan dan pelbagai aktiviti pelajar.
Selain itu, beliau turut menyertai program mobiliti antarabangsa selama satu semester di Industrial University of Ho Chi Minh City, Vietnam, dari bulan Ogos hingga Disember 2024.
Pengalaman tersebut memberi peluang kepadanya untuk memperluas perspektif global, mengenali budaya baharu, berinteraksi dengan pelajar antarabangsa serta menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti setempat.
Katanya, program mobiliti ke Vietnam merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian kerana ia merupakan impian yang ingin saya capai sebagai seorang pelajar.
“Saya bersyukur UMPSA memberikan peluang untuk saya merealisasikan impian tersebut.
“Pengalaman tinggal dan belajar dalam persekitaran yang berbeza turut membantu saya membina keyakinan diri, menyesuaikan diri dengan cabaran baharu dan menghargai kepelbagaian budaya,” ujarnya.
Mengimbas perjalanan pengajian di UMPSA, Dharshica menyifatkan sokongan ibu bapa, sahabat seperjuangan dan pensyarah sebagai antara faktor utama yang membantunya mengharungi cabaran, khususnya ketika mengendalikan Projek Penyelidikan Prasiswazah dan IDP secara serentak pada tahun akhir pengajian.
Menurutnya, cabaran menguruskan beban akademik mengajarnya tentang kepentingan disiplin, pengurusan masa dan keseimbangan antara pelajaran dengan kesejahteraan diri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan dan ruang untuknya berkembang mengikut kemampuan sendiri, selain sahabat yang bersama-sama menempuh perjalanan pengajian dari peringkat diploma hingga ijazah sarjana muda.
Mengulas perancangan masa depan, Dharshica berhasrat membina kerjaya dalam bidang Kejuruteraan Proses, khususnya dalam sektor pembuatan lestari, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan proses, pengurangan pembaziran dan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau juga berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah (PhD) bagi memperluas pengetahuan serta kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Kejayaan Dharshica mencerminkan komitmen graduan UMPSA dalam mengimbangi kecemerlangan akademik, pengalaman industri dan penglibatan kokurikulum sebagai persediaan untuk menyumbang kepada pembangunan industri yang lebih cekap dan lestari.
Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 5 views
Reports by: