Dina Nabilla raih Anugerah VDI, bukti keunggulan graduan Kejuruteraan UMPSA
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kejayaan menamatkan pengajian dalam program ijazah dual dengan Kepujian Kelas Pertama menjadi pencapaian membanggakan buat Dina Nabilla Mustafa, 24, yang membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan keazaman merupakan kunci utama dalam mencapai kejayaan.
Graduan Sarjana Muda (kepujisn) Kejuruteraan Automotif - (program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) ini turut dipilih sebagai penerima Anugerah Verein Deutscher Ingenieure (Association of German Engineer) sekali gus mengiktiraf pencapaian serta potensi beliau dalam bidang kejuruteraan.
Lebih membanggakan, Dina Nabilla merupakan satu-satunya pelajar dalam programnya yang berjaya menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama menerusi program dwiijazah bersama Hochschule Karlsruhe (HKA), Jerman, dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69 bersamaan gred 1.5 dalam sistem penilaian Jerman.
Menurutnya, peluang mengikuti program dwiijazah itu merupakan pengalaman yang amat bermakna kerana bukan sahaja memberikannya pendedahan kepada sistem pembelajaran berbeza, malah membuka ruang untuk mempelajari bahasa Jerman dan menimba ilmu daripada pensyarah kedua-dua universiti.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang mengikuti program ijazah dual bersama HKA, Jerman.
“Pengalaman ini bukan sekadar memperoleh segulung ijazah, tetapi turut membentuk diri saya melalui pelbagai cabaran, pengalaman dan proses pembelajaran yang sangat berharga,” ujarnya.
Sepanjang sembilan semester pengajian, beliau berjaya memperoleh Anugerah Dekan sebanyak lima semester selain memiliki pensijilan Certified SOLIDWORKS Associate (CSWA) dan CATIA Part Design sebagai nilai tambah dalam penguasaan kemahiran teknikal.
Bagaimanapun, perjalanan akademiknya bukanlah sentiasa mudah.
Dina mengakui antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya ialah mengambil masa lebih lama untuk memahami sesuatu topik, khususnya bagi subjek yang disampaikan oleh pensyarah dari Jerman.
Justeru, beliau mengambil inisiatif membuat persediaan sebelum kelas, mengulang kaji selepas sesi pembelajaran dan tidak malu untuk bertanya kepada pensyarah sehingga benar-benar memahami sesuatu perkara.
“Saya belajar bahawa kita tidak semestinya perlu menjadi orang yang paling cepat memahami sesuatu perkara.
“Apa yang lebih penting ialah kesungguhan untuk terus berusaha, konsisten dan tidak mudah berputus asa.
“Pendekatan pembelajaran UMPSA yang mengimbangi teori dan praktikal turut memberikan kelebihan dalam membina kemahiran serta keyakinannya sebagai bakal jurutera,” katanya.
Antara pengalaman yang paling bermakna termasuklah peluang membuka enjin kereta, terlibat dalam projek reka bentuk serta menyertai projek kolaborasi bersama pelajar dari negara lain.
Malah, pengalaman menghasilkan simulasi yang berulang kali mengalami ralat turut mengajarnya erti kesabaran dan ketelitian dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan teknikal.
Mengulas mengenai pemilihan sebagai penerima Anugerah VDI, beliau meluahkan rasa terkejut dan tidak menyangka apabila diberitahu terpilih menerima pengiktirafan tersebut.
“Saya sangat gembira kerana sepanjang perjalanan akademik, saya belum pernah menerima anugerah seperti ini.
“Saya dikelilingi rakan-rakan yang bijak dan hebat, jadi persaingan memang sangat mencabar.
“Pengiktirafan ini amat bermakna dan menjadi satu penghargaan terhadap segala usaha yang telah saya lakukan,” katanya.
Di sebalik kejayaan tersebut, ibu bapanya, Mustafa Mohammed Miskun, 56 dan Wan Hamimi Wan Mustaffa, 51 merupakan insan yang menjadi sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan akademiknya.
Beliau turut menghargai sokongan rakan-rakan sekuliah, khususnya Aliff Aiman, serta para pensyarah yang sentiasa membantu dan membimbingnya sepanjang pengajian.
“Kejayaan ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi turut hadir daripada doa, pengorbanan dan sokongan insan-insan yang sentiasa percaya kepada kemampuan saya, termasuk ketika saya sendiri meragui kebolehan diri.
Dina Nabilla memulakan kerjaya sebagai Design Engineer di Seagull Cooling Technologies, dengan hasrat untuk terus memperluas pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan.
Berpegang kepada prinsip bahawa pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat, beliau percaya setiap kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya peluang untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.
“Semakin banyak masalah yang kita selesaikan dan semakin besar cabaran yang berjaya kita atasi, semakin bernilai diri kita.
“Jangan berhenti belajar dan jangan takut untuk keluar daripada zon selesa,” ujarnya.
Turut sama menerima anugerah VDI, Neil Nobert Paul.
Anugerah disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor pada sidang satu yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMPSA Pekan pagi ini.
Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 7 views
Reports by: