Fatin Nabilah raih Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah, buktikan ketekunan dalam bidang Farmaseutikal
PEKAN, 1 November 2026 – Berbekalkan ketekunan dalam penyelidikan dan semangat untuk terus maju, graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Fatin Nabilah Asyirah Monding, 24, membuktikan bahawa usaha berterusan mampu menghasilkan kejayaan apabila meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang berasal dari Kinabatangan, Sabah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian pada September 2026, dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77.
Antara pencapaian yang membanggakan ialah kejayaan meraih Pingat Emas dalam CITReX 2026 menerusi projek tahun akhirnya, ‘RiboFloat: Advanced Gastro-Retentive Riboflavin Tablets’, yang memfokuskan pembangunan formulasi tablet riboflavin dengan ciri terapung bagi memanjangkan tempoh pelepasan ubat.
Projek tersebut menuntut ketelitian dalam penyediaan dan pengoptimuman formulasi, pengujian kualiti tablet serta analisis data.
Pengalaman itu mengajarnya bahawa penyelidikan memerlukan kesabaran dan kesediaan untuk memperbaiki hasil melalui percubaan berulang.
Selain pencapaian tersebut, Fatin Nabilah turut memperoleh tempat pertama menerusi projek inovasi rawatan air dalam Program Mobiliti Antarabangsa di Surabaya, Indonesia.
Pengalaman berkenaan memberinya peluang bekerjasama dengan peserta daripada latar belakang berbeza, selain memperluas pengetahuan dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Sepanjang pengajian di UMPSA, beliau turut menyertai Program Komuniti Zoo Kemaman yang melibatkan pemuliharaan alam sekitar dan khidmat komuniti, selain menjadi sukarelawan dalam acara sukan fakulti.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori dengan pengalaman praktikal melalui kerja makmal dan projek penyelidikan membantu beliau memahami aplikasi ilmu dalam situasi sebenar.
Bimbingan pensyarah juga menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan kefahaman serta membina keyakinan untuk menghadapi cabaran akademik.
Bagaimanapun, perjalanan pengajiannya bukan tanpa cabaran.
Sebagai pelajar dari Sabah, kos penerbangan antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia merupakan antara perkara yang perlu dipertimbangkan sepanjang tempoh pengajian.
Pada masa yang sama, pelaksanaan projek tahun akhir memerlukan pengurusan masa, kesabaran dan ketelitian yang sangat tinggi.
“Saya berasa sangat terkejut dan terharu apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini.
“Saya tidak menyangka usaha keras sepanjang pengajian akan menerima pengiktirafan seperti ini.
“Bagi saya, anugerah ini amat bermakna kerana segala usaha dan pengorbanan yang dilalui akhirnya dihargai.
“Saya berharap kejayaan ini dapat membanggakan keluarga dan menjadi inspirasi kepada adik-adik saya,” katanya.
Fatin Nabilah turut menyifatkan keluarga sebagai sumber kekuatan utama, di samping sokongan pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantunya sepanjang pengajian.
Berpegang pada prinsip untuk tidak mudah mengalah dan sentiasa memberikan yang terbaik, beliau kini berhasrat membina kerjaya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), formulasi produk atau kawalan kualiti, selaras dengan kelayakan akademiknya.
Beliau berharap dapat terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan menyumbang kepada industri, selain membuktikan bahawa kesungguhan serta kepercayaan terhadap kemampuan diri merupakan asas penting dalam mencapai impian.
Oleh: HAFIZATULAZLIN ABDUL AZIZ, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 5 views
Reports by: