Gokilavani ibu tunggal berjaya genggam segulung ijazah
GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Berkahwin pada usia muda, namun perkahwinan tidak kekal lama, Gokilavani Kanesan, 37, tidak patah semangat dengan suratan hidupnya.
Beliau berjaya memperoleh Bachelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA Advanced dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 pada sesi keenam.
Sebelum itu, beliau memperoleh Diploma Perakaunan LCCI pada tahun 2016.
Anak tunggalnya, Abhitha, 17 turut sama hadir meraikan kejayaannya pada hari konvokesyen tersebut.
Katanya, selepas memperoleh diploma, beliau dinaikkan pangkat daripada kerani kepada Eksekutif Akaun di Liftech Engineering (K.L) Sdn. Bhd.
“Dengan 12 tahun pengalaman, saya tidak berhenti di situ sahaja dan mula menyambung pelajaran di UMPSA Advanced dengan pengkhususan dalam bidang sumber manusia.
“Semasa dalam pengajian itulah, saya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Sumber Manusia pada tahun 2020.
“Walaupun saya seorang ibu tunggal, saya berjaya mengatasi pelbagai cabaran seorang diri demi mengejar impian saya.
“Saya tidak akan berhenti di sini sahaja kerana saya bercita-cita menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) dan menjadi ikon untuk ibu tunggal di luar sana,” ujarnya.
Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 102 views