Graduan perintis Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU tingkat pembangunan industri rel negara
BEIJING, 8 Januari 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah baharu apabila kumpulan pertama seramai 45 graduan program kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Kejuruteraan Rel.
Daripada jumlah itu, seramai sepuluh orang pelajar tamat pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, 20 orang pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 15 pelajar orang (Kejuruteraan Awam).
Dengan kelahiran graduan perintis UMPSA-BJTU ini, Malaysia kini bersedia untuk menggerakkan industri rel dengan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
UMPSA merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program ijazah dual yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua tahun setengah di BJTU, China.
Menurut Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, program ini juga berjaya mengadaptasi Work-based Learning (WBL) yang berteraskan industri dan memberi peluang pelajar menimba pengalaman industri di China.
“Kejayaan ini merupakan langkah signifikan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir untuk menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia, termasuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada tahun 2026.
“UMPSA amat menghargai sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia serta hasil kolaborasi dengan pihak BJTU.
“Program ijazah dual ini membuka lembaran sejarah di antara UMPSA dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua university,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
“Malahan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara,” tambah beliau.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, seramai 102 pelajar telah menyertai program ini yang memberi penekanan kepada pembangunan kepakaran berkaitan Teknologi Rel.
Majlis menyaksikan graduan menerima ijazah masing-masing daripada Secretary of the CPC Beijing Jiaotong University (BJTU), Chen Ziji dan Timbalan Presiden BJTU, Professor GAO Liang mewakili BJTU.
Manakala mewakili UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh serta Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak @Muhammad.
Turut sama Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon dalam majlis graduasi yang berlangsung di BJTU, Beijing.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada UMPSA dan BJTU atas usaha menghasilkan graduan yang berkaitan teknologi rel.
“Pihak JPA berbangga dan gembira dapat berpeluang dalam menyokong menghasilkan graduan yang diperlukan negara,” ujarnya.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Ziad turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pihak JPA dan sokongan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ujarnya, sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sepuluh program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.
UMPSA turut berbangga apabila graduannya juga telah mendapat peluang pekerjaan bersama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC).
Hadir sama Kaunselor (Latihan dan Pendidikan) Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan Seoul, Korea Selatan, Shahril Nizam Idris dan Pengarah Pejabat Education Malaysia (Beijing), Muhammad Sallehuddin Mohd. Dilif.
UMPSA telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak KPT, Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017.
Kerjasama ini turut membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 111 views