Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang hargai kecemerlangan Aida Nadhirah dalam bidang Kejuruteraan
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kejayaan dalam bidang akademik, pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum menjadi antara kekuatan Aida Nadhirah Abdullah Harun, penerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC) UMPSA, Pekan.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang, berusia 25 tahun itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dengan Kepujian UMPSA yang mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71.
Beliau turut menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Automasi di Beijing Jiaotong University (BJTU), China, dengan PNGK 3.46 menerusi program Ijazah Dual UMPSA-BJTU.
Sebelum itu, beliau memperoleh Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Industri) dari UMPSA dengan PNGK 3.57, sekali gus memperlihatkan perjalanan akademik yang konsisten dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Kecemerlangan beliau turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan 2025 Outstanding International Graduate dan dilantik sebagai Alumni Liaison Person oleh BJTU pada bulan Januari 2026.
Menurut Aida Nadhirah, pemilihan beliau sebagai penerima anugerah itu disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa terharu kerana pengiktirafan tersebut membawa makna besar terhadap segala usaha, pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan sepanjang pengajian.
“Anugerah ini secara peribadi menjadi bukti bahawa segala pengorbanan, titik peluh dan usaha berterusan sepanjang pengajian membuahkan hasil.
“Ia juga menjadi pendorong utama untuk saya terus berbakti kepada masyarakat dan negara.
“Peluang mengikuti program Ijazah Dual UMPSA-BJTU memberikan saya kelebihan dari segi penguasaan ilmu kejuruteraan, pendedahan teknologi serta kebolehsuaian dalam persekitaran antarabangsa,” ujarnya.
Gabungan pembelajaran berteraskan teori di UMPSA dan pendedahan kepada teknologi rel serta automasi di China turut membantu membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi keperluan industri global.
Bagaimanapun, perjalanan akademiknya bukan tanpa cabaran.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar ialah mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang sambil menyesuaikan diri dengan persekitaran, bahasa dan sistem pembelajaran yang berbeza di China.
Cabaran itu menuntut ketahanan mental, pengurusan masa yang teratur serta keupayaan menyesuaikan diri dengan cepat.
Sokongan keluarga, pensyarah UMPSA dan BJTU serta rakan seperjuangan menjadi antara faktor penting yang membantu beliau mengharungi cabaran tersebut.
Selain kecemerlangan akademik, Aida Nadhirah turut aktif dalam aktiviti kebudayaan dan sukan sepanjang pengajiannya.
Beliau berperanan sebagai duta kebudayaan yang memperkenalkan tarian tradisional Melayu menerusi program pertukaran budaya antarabangsa di China, termasuk persembahan bersempena dengan Sesi Suara Bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Malaysian Gastronomy Festival 2024.
Beliau juga terlibat sebagai sukarelawan dalam program pertukaran kebudayaan Dialogue and Link serta Bengkel Zapin dan Program Pertukaran Pelajar ASWARA-China.
Dalam bidang sukan, beliau mewakili BJTU dan UMPSA dalam pelbagai kejohanan, termasuk meraih pingat perak dalam Hari Sukan Negara Beijing 2023 dan naib juara pertandingan badminton di Liuzhou Railway Vocational Technical College pada bulan Julai 2025.
Penglibatan dalam pelbagai bidang itu, menurut beliau, menjadikan pengalaman di UMPSA lebih bermakna kerana universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu kejuruteraan, malah platform untuk membentuk sahsiah, kepimpinan dan daya saing antarabangsa.
Aida Nadhirah kini berkhidmat sebagai Jurutera Elektrik di China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Tanggungjawab beliau merangkumi urusan perhubungan rasmi dengan Malaysia Rail Link (MRL), pengurusan dokumentasi sistem serta pelaksanaan dan pemantauan ujian kualiti mengikut Prosedur Pengendalian Standard (SOP).
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh di Malaysia dan China, beliau berhasrat untuk terus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kejuruteraan rel dan sistem kuasa negara, selain bercita-cita menjadi pakar kejuruteraan yang mampu membawa inovasi berteknologi tinggi dalam industri pengangkutan Malaysia.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa UMPSA agar berani merebut peluang di peringkat antarabangsa dan keluar daripada zon selesa untuk mengembangkan potensi diri.
“Percayalah kepada proses dan sentiasa bawa nama baik UMPSA di mana jua kita berada,” katanya.
Kejayaan Aida Nadhirah mencerminkan kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, penglibatan kokurikulum dan pendedahan antarabangsa dalam melahirkan graduan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh: NORAINI YUSOFF, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 5 views
Reports by: