Impian arwah ibu menjadi pembakar semangat Sharifah Ezrynna raih kecemerlangan di UMPSA
PEKAN, 2 NOVEMBER 2026 – Di sebalik kejayaan meraih pengiktirafan akademik pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21, tersimpan sebuah kisah penuh pengorbanan dan ketabahan graduan, Sharifah Ezrynna Sayed Hashim, 26, yang berjaya merealisasikan impian arwah ibunya untuk melihat beliau menggenggam segulung ijazah di pentas konvokesyen.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian itu membuktikan bahawa kehilangan insan tersayang bukan penghalang untuk terus melangkah mencapai kejayaan, sebaliknya menjadi kekuatan untuk menyempurnakan impian yang pernah disematkan.
Sepanjang pengajian di UMPSA, beliau berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 serta menerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut. Beliau turut menerima Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation Berhad sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademiknya.
Kecemerlangan beliau turut terserlah dalam bidang penyelidikan dan inovasi apabila berjaya meraih Anugerah Emas bagi Projek Sarjana Muda 2026 serta Pingat Perak di CITReX 2026 menerusi projek LandslideGuard yang memfokuskan pengurusan risiko perubahan iklim.
Menurut Sharifah Ezrynna, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha dan sokongan insan-insan yang sentiasa mempercayai kemampuannya, khususnya arwah ibu yang menjadi individu pertama meletakkan keyakinan terhadap potensi dirinya.
“Pada awalnya, saya sendiri tidak pernah menyangka impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, memperoleh keputusan cemerlang dan menerima anugerah di atas pentas akan menjadi kenyataan.
“Arwah ibu merupakan insan pertama yang percaya bahawa saya mampu berjaya walaupun ketika itu saya sendiri kurang yakin dengan kemampuan diri.
“Walaupun beliau tidak berkesempatan menyaksikan kejayaan ini, segala usaha yang saya lakukan membawa bersama impian dan harapannya,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa kehilangan ibu merupakan antara cabaran paling sukar sepanjang pengajian apabila perlu menguruskan emosi dalam masa yang sama memenuhi tuntutan akademik, menyiapkan tugasan serta melaksanakan penyelidikan tahun akhir.
Namun, sokongan daripada ayah, Sayed Hashim Sayed Ahmad, adik-beradik, rakan-rakan serta pensyarah menjadi sumber kekuatan untuk beliau meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Sepanjang berada di UMPSA, beliau turut aktif dalam aktiviti kokurikulum dengan memegang tanggungjawab sebagai Exco Multimedia bagi Society of Civil Engineering Technology Students (SCETS) dan Penolong Setiausaha Kelab Vocal Intensity.
Penglibatan tersebut memberinya peluang meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan maklumat serta keyakinan diri, selain melengkapkan pengetahuan akademik dan kemahiran praktikal dalam bidang pengurusan infrastruktur.
Mengulas pengalaman pembelajaran di UMPSA, beliau menyifatkan pendekatan pengajaran yang menggabungkan teori dan amali serta pendedahan kepada keperluan industri sebagai antara kelebihan yang membantu graduan membuat persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Pengalaman menyiapkan projek penyelidikan tahun akhir berkaitan penggunaan imej radar bukaan sintetik (SAR) bagi pencirian dan pengesanan tanah runtuh melalui analisis nilai pantulan balik turut menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya, malah hasil kajian tersebut berjaya dikembangkan sehingga diterbitkan dalam kertas persidangan.
Berpegang kepada prinsip untuk sentiasa memberikan yang terbaik, tidak mudah berputus asa dan terbuka untuk belajar daripada kesilapan, beliau kini bersedia melangkah ke alam kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan sebagai Jurutera Tapak.
Beliau berharap dapat terus meningkatkan kemahiran teknikal, menimba pengalaman industri serta membina kerjaya profesional yang kukuh.
Dalam masa yang sama, beliau berhasrat membalas jasa keluarga dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur yang berkualiti, selamat serta mampan demi manfaat masyarakat.
“Buat arwah ibu, terima kasih kerana menjadi orang pertama yang percaya bahawa saya mampu melakukannya.
“Kejayaan ini bukan sekadar milik saya, tetapi juga merupakan impian yang akhirnya berjaya kami realisasikan bersama,” katanya.
Kisah beliau menjadi bukti bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut mencerminkan ketabahan, pengorbanan dan kekuatan seseorang dalam mengharungi perjalanan kehidupan.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views
Reports by: