Skip to main content
Jiwa sukarelawan bawa Halimatus Sa'diyyah rangkul Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Sukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA

Jiwa sukarelawan bawa Halimatus Sa'diyyah rangkul Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Sukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA

PEKAN, 1 Novemer 2026 - Berpegang teguh kepada prinsip hidup bahawa manusia dikurniakan dua tangan, satu untuk membantu diri sendiri dan satu lagi untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain, menjadi pendorong utama kejayaan Halimatus Sa'diyyah Abd Rahman@Abdul Aziz dinobatkan penerima Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Sukarelawan dan Tanggungjawab Sosial bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC) hari ini. 

Gadis berusia 24 tahun kelahiran Besut, Terengganu itu membuktikan bahawa kesibukan menuntut ilmu di menara gading bukan penghalang untuk menabur bakti kepada masyarakat, malah ia menjadi medan terbaik membina sahsiah dan kepimpinan diri. 

Halimatus yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik berkongsi, perjalanan kesukarelawanannya bermula secara serius selepas menyertai program Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang di Sarawak pada peringkat awal pengajiannya. 

Ujarnya, pengalaman tinggal di rumah panjang bersama komuniti Orang Ukit di Sarawak benar-benar membuka mata saya terhadap realiti kehidupan masyarakat. 

“Di situlah bermulanya titik tolak yang mengubah cara pandang saya, menyedarkan saya bahawa sekecil-kecil kehadiran dan bantuan kita mampu membawa makna yang amat besar buat mereka yang memerlukan," katanya. 

Kecemerlangan kepimpinannya terserlah apabila beliau diberi kepercayaan menggalas pelbagai portfolio penting, termasuk memegang mandat sebagai Pengarah Kembara Mobiliti@ Bojonegoro, Indonesia, yang membawa misi kesukarelawanan merentasi sempadan negara. 

Selain itu, beliau turut aktif sebagai Timbalan Presiden Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 (PEKA 3), Setiausaha Bahagian Perancangan dan Strategik Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA, serta menyertai misi antarabangsa mengumpul dana ke Türkiye bagi menyantuni pelarian. 

Mengimbas kembali cabaran yang dihadapi, penerima biasiswa Yayasan Terengganu ini mengakui bukan mudah untuk mengimbangi antara komitmen aktiviti komuniti dan tuntutan akademik. 

Beliau pernah berdepan detik sukar apabila terlepas Anugerah Dekan dengan perbezaan hanya 0.01 mata akibat jadual aktiviti yang terlalu padat. 

Namun, kegagalan tipis itu dijadikan iktibar untuk menyusun strategi pengurusan masa yang lebih mantap sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang 3.61 serta meraih Anugerah Dekan bagi tujuh daripada lapan semester pengajiannya. 

"Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi dibina atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga, para pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan dalam persatuan dan universiti. 

“Mereka sentiasa menjadi sumber kekuatan saya ketika keletihan menguruskan pelbagai program," ujarnya. 

Halimatus yang kini bertugas sebagai Eksekutif Jaminan Kualiti Pembangunan di syarikat farmaseutikal Novugen Pharma Sdn. Bhd. menegaskan, anugerah berkenaan bukanlah titik nohktah buat dirinya. 

Sebaliknya, ia adalah satu amanah untuk terus menyumbang kepada komuniti walaupun sibuk membina kerjaya profesional. 

"Nasihat saya kepada anak muda dan mahasiswa di luar sana, jangan tunggu sehingga kita kaya atau berjawatan tinggi baru mahu menabur bakti. 

“Peganglah prinsip 'kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi'. 

“Mulakan dengan apa yang ada di tangan kita hari ini," katanya. 

Oleh: NOR SALWANA MOHAMMAD IDRIS, PUSAT PEMBANGUNAN KELESTARIAN (SDC)

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri