Kang Q Huat raih Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Kang Q Huat, 24, tidak menyangka akan terpilih selaku penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Anak jati Kok Lanas, Kelantan ini berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 di samping memperoleh Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Kursus (BAA) dan IEM Gold Award.
Ujarnya, UMPSA merupakan sebuah universiti yang mempunyai kemudahan hebat di samping para pensyarah yang profesional serta bertanggungjawab dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang baik kepada pelajar.
“Kerjasama UMPSA bersama industri menjadikan pelajar dan graduannya memahami keperluan serta kehendak industri atau pasaran semasa dan bersedia untuk diserap dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Jelas beliau lagi, walau dalam apa jua keadaan yang pernah kita lalui sama ada baik atau buruk, kita perlu hadapinya dengan tenang.
“Ikutlah kemampuan sendiri,” ujarnya.
Sepanjang pengajiannya di UMPSA, beliau turut aktif dalam persatuan Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2(PEKA 2), Exco Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti Sesi 2021/2022, Bendahari Sesi 2022/2023 dan sering memegang jawatan besar dalam penganjuran program universiti.
Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini menjadikan keluarganya antara penyumbang terbesar kejayaannya.
Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kang kini telah bekerja sebagai Jurutera Awam di salah sebuah syarikat perunding awam di Puchong, Selangor.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 78 views