Skip to main content
Kecemerlangan ilmu dinilai melalui sumbangan kepada masyarakat dan negara - Pro-Canselor UMPSA

Kecemerlangan ilmu dinilai melalui sumbangan kepada masyarakat dan negara - Pro-Canselor UMPSA

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Ilmu yang diperoleh di universiti perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada industri, masyarakat dan negara, bukan sekadar menjadi pencapaian akademik atau pengiktirafan peribadi.

Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor berkata, kemajuan sesebuah negara tidak hanya ditentukan oleh kekayaan sumber atau kecanggihan teknologi, sebaliknya dibina atas kekuatan ilmu, kematangan pemikiran dan kebijaksanaan rakyatnya dalam menghadapi perubahan.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan cabaran kemampanan, Malaysia memerlukan golongan ilmuwan yang bukan sahaja menguasai kepakaran, malah berani meneroka penyelesaian baharu serta memimpin perubahan secara bertanggungjawab.

“Universiti bukan sekadar tempat memperoleh kelayakan akademik, sebaliknya merupakan medan pembangunan intelektual, tempat lahirnya gagasan baharu dan institusi yang membentuk pemimpin pemikiran untuk masa depan negara.

“Saya berbesar hati melihat UMPSA terus memperluas kerjasama melalui program Ijazah Dual, mobiliti akademik dan penyelidikan bersama,” ujarnya. 

Kecemerlangan ilmu dinilai melalui sumbangan kepada masyarakat dan negara - Pro-Canselor UMPSA

Kepada graduan Ijazah Dual, manfaatkanlah pengalaman pembelajaran merentas sistem

pendidikan untuk membawa perspektif baharu kepada negara,” katanya. 

Ujar beliau, Malaysia tidak seharusnya hanya menjadi pengguna teknologi dan pengetahuan global. Kita mesti turut menjadi negara yang menghasilkan idea, membangunkan inovasi dan menyumbang penyelesaian kepada dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan, hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, dan barisan ahli-ahli lembaga pengarah universiti serta pengurusan universiti. 

Mengulas lanjut, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari menegaskan kecemerlangan penyelidikan tidak seharusnya diukur melalui jumlah penerbitan dan pengiktirafan semata-mata, tetapi juga berdasarkan keupayaannya menghasilkan inovasi, meningkatkan produktiviti industri, memperkukuh ekonomi serta menambah baik kesejahteraan rakyat.

“Justeru, penyelidikan yang bermakna perlu merapatkan jurang antara penemuan akademik dengan keperluan sebenar industri dan masyarakat agar ilmu yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberikan manfaat nyata,” katanya. 

Beliau percaya UMPSA, dengan kekuatan dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET Termaju, mampu memainkan peranan penting menerusi kerjasama strategik bersama industri, kerajaan dan rakan penyelidikan.

“Kita mahu melahirkan ilmuwan yang bukan sahaja dikenali kerana kecemerlangan penyelidikannya, tetapi dihargai kerana perubahan yang berjaya dihasilkan melalui ilmunya,” tambahnya. 

Beliau turut menyambut baik usaha UMPSA memperluas kerjasama melalui program ijazah dual, mobiliti akademik dan penyelidikan bersama universiti antarabangsa.

Di samping itu, berharap juga graduan UMPSA akan tampil sebagai pemimpin pemikiran yang berani membawa perubahan, mempertahankan kebenaran serta menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan manusia sejagat.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, seramai 3,345 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Oktober hingga 3 November 2026, termasuk 121 graduan antarabangsa dari 17 negara.

Bagi Sidang Pertama, seramai 375 graduan diraikan yang terdiri daripada 91 graduan Doktor Falsafah (PhD), 205 graduan Ijazah Sarjana dan 79 graduan Ijazah Dual, selain 20 penerima anugerah serta hadiah kecemerlangan.

Penerima anugerah bagi Sidang 1 Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA terdiri daripada Shakirah Izzati Muhammad Firdaus, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan Kepujian, dan Ang Cheng Long, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, yang masing-masing menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang). 

Sementara itu, Almira Damia Syahnizam, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian, menerima Anugerah Canselor; Tai Xiao Ying, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) dengan Kepujian, menerima Anugerah Pro-Canselor; manakala Kew Winson, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian, menerima Anugerah Naib Canselor. 

Turut menerima Anugerah Emas Universiti ialah Lee Yee Xynn, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, dan Sharifah Nadia binti Syed Mohd Saufi, graduan Diploma Kejuruteraan Kimia. 

Bagi kategori pascasiswazah, Yasin M. Y. Albarqouni, graduan Doktor Falsafah, menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa UMPSA bagi kategori Pascasiswazah (Penyelidikan), manakala Nurul Aien Abd Aziz, turut graduan Doktor Falsafah, menerima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA. 

Seterusnya, Neil Norbert Paul, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian, menerima Anugerah Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers), sementara Ong Lee Xuan, dalam program pengajian yang sama, menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA-Jerman. 

Aida Nadhirah Abdullah Harun, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang, manakala Nurul Asyiqin Ahmad Sapali, juga graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).

Majlis konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya berlangsung di DTC yang baharu dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 21 Oktober lalu.

Majlis turut dihadiri Vice-President of Beijing Jiaotong University, Profesor Dr. Gao Liang, Associate Profesor Jiang Xiaoxia, Ningxia University, Profesor Dr. Zhang Wengang, Chongqing University. 

Majlis turut disertai Profesor Dr.-Ing. Robert Weiß, Karlsruhe University of Applied Sciences,  Profesor Dr. Li Lijun, Hebei University, Dr. Ozoda Yuldasheva, Samarkand State Technical University, Uzbekistan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri