Kecewa tidak dipanggil ke pentas SPM, Hairul Hazizi bangkit tebus kegagalan dengan Anugerah UMW Holdings
PEKAN, 2 November 2026 - Kekecewaan yang pernah dirasai ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2019 menjadi titik perubahan buat graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mohamad Hairul Hazizi Mohamad, 24, apabila berjaya membuktikan kemampuan diri dengan meraih Anugerah UMW Holdings pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Lebih bermakna, kejayaan tersebut hadir selepas beliau menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian Kelas Pertama, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69 serta menerima Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian di UMPSA.
Anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu itu berkata, kejayaan yang dikecapinya hari ini merupakan satu perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran, pengorbanan dan tekad untuk membuktikan bahawa setiap kekecewaan bukan pengakhiran kepada sebuah impian.
“Pengalaman paling sukar dilupakan ialah ketika pengumuman keputusan SPM 2019 apabila namanya tidak diumumkan di pentas sebagai antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, sedangkan ibu bapanya telah hadir dengan penuh harapan untuk meraikan kejayaannya.
“Ketika itu, saya sangat malu dan terus menangis. Saya merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah atau STAR SPM, namun nama saya tidak dipanggil. Sejak daripada itu, saya bertekad untuk menebus kembali kekecewaan tersebut,” katanya.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat diploma di UMPSA dan berjaya menamatkannya dengan PNGK 3.33. Namun, kegembiraan bergelar graduan ketika itu sedikit berbeza apabila tiada ahli keluarga yang dapat hadir meraikan hari bersejarah tersebut berikutan kekangan pengangkutan dan keadaan keluarga.
Walaupun berdepan pengalaman yang menyedihkan, beliau tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk berhenti berusaha, sebaliknya terus melangkah ke peringkat ijazah dengan sasaran untuk memperoleh keputusan Kelas Pertama.
“Sejak mula memasuki UMPSA, saya tidak pernah terfikir untuk menerima sebarang anugerah. Hasrat saya ketika itu hanyalah untuk memperoleh Ijazah Kelas Pertama.
“Namun, Allah merancang sesuatu yang lebih baik apabila saya bukan sahaja berjaya mencapai hasrat tersebut, malah turut menerima Anugerah UMW Holdings.
“Bagi saya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga satu hadiah buat ibu bapa dan guru-guru yang pernah saya kecewakan pada tahun 2019,” ujarnya.
Mengulas cabaran sepanjang pengajian, beliau berkata masalah kewangan keluarga merupakan antara dugaan terbesar apabila bapanya, Mohamad Abdullah, yang telah bersara sebagai juruteknik elektrikal, masih perlu melakukan kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga termasuk tiga orang adiknya yang masih bersekolah.
Pengorbanan bapanya turut menjadi pendorong untuk beliau terus memberikan yang terbaik apabila sanggup menggunakan wang simpanan bagi membeli kenderaan untuk membolehkan beliau menjalani latihan industri di Perak meskipun keluarga mereka berasal dari Terengganu.
“Segala usaha dan pencapaian saya adalah untuk memudahkan urusan keluarga serta memberikan kesenangan kepada mereka. Tanpa doa ibu dan keluarga serta pengorbanan ayah, saya tidak mungkin berada pada tahap ini,” katanya.
Sepanjang berada di UMPSA, beliau turut aktif dalam aktiviti kokurikulum termasuk menjadi sukarelawan di Kolej Kediaman 5 (KK5), menyertai aktiviti fakulti serta mewakili fakulti dalam acara Sukan Antara Fakulti (SUKFAC).
Beliau turut menyifatkan pendekatan pembelajaran melalui program Work-Based Learning (WBL) sebagai antara kelebihan UMPSA kerana memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam operasi industri, menyumbang idea serta menyelesaikan permasalahan sebenar di tempat kerja.
Pengalaman WBL di PROTON juga membuka ruang kepada beliau untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan automotif, khususnya berkaitan peralatan, proses pembuatan dan penambahbaikan kualiti.
Selepas menamatkan pengajian, beliau memilih untuk membina kerjaya terlebih dahulu bagi meningkatkan kompetensi diri, menimba pengalaman industri serta mengembangkan kemahiran teknikal sebelum mempertimbangkan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan kepada seluruh mahasiswa agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian dan sentiasa meletakkan keluarga serta ibu bapa sebagai antara sumber kekuatan dalam menuntut ilmu.
“Teruskan belajar dan bercita-cita tinggi. Niatkan segala usaha kerana Allah serta untuk ibu bapa dan keluarga. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah kerana setiap kejayaan mempunyai waktunya tersendiri. Jangan mudah menyerah,” katanya.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 11 views
Reports by: