Kehilangan ayah bukan halangan buat Muhammad Farhad bangkit cemerlang dalam bidang Data Analitik
Gambang, 26 Oktober 2024 – Muhammad Farhad Bin Khaharruddin, 23, terpegun apabila namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Pahang (UMPSA). Anugerah ini merupakan penghargaan kepada pencapaian hasil daripada dedikasi dan kerja keras sepanjang pengajian di mana beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Analitik Data.
Farhad telah melalui pelbagai cabaran yang benar-benar menguji kekuatan dirinya. Sebagai anak bongsu daripada lapan adik beradik, beliau sedar pentingnya sokongan daripada keluarga.
"Saya terkejut tetapi sangat bersyukur kerana segala usaha yang diberi selama ini tidak sia-sia," katanya dengan penuh rasa syukur.
Semasa pengajian semester pertama, Farhad sekeluarga berdepan dengan ujian yang berat apabila ayahnya diserang penyakit strok. Farhad bergilir menjaga ayah dan menjalani pengajian atas talian di tengah kemelut pandemik Covid19.
"Kehilangan ayah saat paling sukar dalam hidup," katanya.
"Tetapi saya meneruskan usaha ini demi ibu saya. Beliau telah banyak berkorban dan saya mahu membanggakannya dengan kejayaan ini."
Farhad mengakui beliau diduga banyak cabaran, namun pengalaman tersebut telah mengajarnya erti ketabahan dan kegigihan.
"Jatuh bukan titik noktah, tetapi suatu peluang untuk belajar dan memperbaiki diri," ujarnya.
"Setiap kesilapan menjadi pelajaran yang berharga untuk saya berubah menjadi lebih baik."
Beliau juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah yang banyak membantu daripada segi pembelajaran.
"Saya sedar bahawa kejayaan ini bukan hanya usaha saya sendiri, tetapi hasil sokongan dan bantuan daripada rakan-rakan yang sentiasa ada di sisi," katanya.
"Kami saling membantu dan memotivasikan satu sama lain, dan pengalaman itu tidak ternilai."
Selain itu, Muhammad Farhad turut berkongsi prinsip hidup yang dipegangnya ketika berhadapan dengan cabaran.
" When life hits you hard, learn to hit it back harder." katanya penuh semangat.
Muhammad Farhad juga menegaskan betapa pentingnya berkongsi ilmu.
"Jika kita mempunyai ilmu, kongsi ilmu itu dengan mengajar orang lain," ujarnya.
Baginya, ilmu itu amanah yang perlu dikongsi agar dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
Beliau bercita-cita untuk menjadi "solopreneur" dengan hasrat untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang teknologi sebagai satu sumbangan kepada pembangunan negara.
"Saya mahu membantu memperkasa sektor teknologi di Malaysia dan menggunakan kepakaran saya untuk memberi impak positif kepada masyarakat," tambahnya.
Walaupun menghadapi pelbagai dugaan, Muhammad Farhad tidak pernah mengalah. Dedikasi terhadap pelajaran dan impian untuk membanggakan ibu menjadi inspirasi hidupnya.
"Kejayaan ini adalah untuk ibu dan keluarga saya, dan saya akan terus berusaha demi masa depan yang lebih baik," katanya penuh emosi.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 441 views