Kehilangan ayahanda pada semester akhir, Siti Hawa tekad dan raih kecemerlangan di UMPSA
GAMBANG, 29 Oktober 20204 - Tekad Siti Hawa untuk membanggakan keluarga dalam pelajaran khasnya buat arwah ayahnya dibuktikan dengan berjaya mengenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Program Separuh Masa) hari ini dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Siti Hawa yang sentiasa aktif dalam sukan telah mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69 amat gembira apabila telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Separuh Masa).
Menurut anak kelahiran Felda Tenggaroh 6, Mersing itu, kejayaan bukanlah mustahil bagi mereka yang berusaha keras.
“Do my best, Allah SWT ada, ilmu perlu dicari.
“Sepanjang pengajian, saya menempuh pelbagai cabaran seperti pengurusan masa antara akademik, urusan kerja dan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
“Saya sentiasa percaya bahawa dengan kerja keras dan sokongan daripada keluarga serta majikan saya mampu untuk mencapai apa yang diimpikan,” ujarnya.
Ujarnya, setiap cabaran beliau anggap sebagai satu peluang untuk belajar dan bangkit.
“Anugerah kali ini menjadi kenangan manis buat saya dan keluarga.
“Memori ini akan tersemat indah dalam diri saya,” katanya yang pernah merima Anugerah Dekan UMPSA pada tahun 2020.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Siti Hawa menyatakan bahawa beliau ingin menyumbang kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia dengan menerapkan segala ilmu dan tunjuk ajar khususnya dalam pengurusan operasi dan teknikal dalam industri yang diceburi.
Disediakan oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced.
- 34 views