Skip to main content
Kehilangan ibu bapa bukan penghalang Ilyas Hakim gengam ijazah kelas pertama, hadiah buat yang tersayang

Kehilangan ibu bapa bukan penghalang Ilyas Hakim gengam ijazah kelas pertama, hadiah buat yang tersayang

PEKAN, 3 November 2026 – Kehilangan kedua-dua ibu bapa ketika masih menuntut pengajian bukan penghalang buat Ilyas Hakim Amir, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian, untuk terus melakar kejayaan sehingga menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Bagi Ilyas, kejayaan menggenggam segulung ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi lambang kasih sayang, pengorbanan dan azamnya untuk terus membanggakan kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Amir Awalludin dan Allahyarhamah Hayati Ahmad, meskipun mereka tidak lagi berada di sisi untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Mengimbas kembali perjalanan pengajiannya, Ilyas berkata, keinginan untuk membanggakan ibu bapanya telah menjadi sumber kekuatan sejak di bangku persekolahan lagi.

“Sebenarnya, alasan saya untuk terus berjuang adalah kerana saya berazam untuk membawa mak dan ayah naik ke pentas ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Namun, ketika itu negara berdepan pandemik COVID-19 dan saya hanya diraikan menerusi siaran dalam talian di YouTube.

“Saya kemudian berazam untuk membanggakan mereka sekali lagi ketika pengajian diploma,” ujarnya.

Namun, beliau masih tidak berpeluang membawa ibu menyaksikan kejayaannya. 

“Ketika itulah saya benar-benar berasa sedih dan hampir berputus asa. 

“Alhamdulillah, orang sekeliling terus memberikan kekuatan kepada saya untuk bangkit dan meneruskan pengajian sehingga tamat,” katanya.

Ujian kehilangan ibu tersayang yang menghidap kencing manis ketika pengajian diploma menjadi titik paling sukar dalam perjalanan hidupnya. 

Namun, sokongan insan sekeliling membantunya mengumpul kembali kekuatan untuk meneruskan impian yang telah lama disematkan.

Ketika melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, matlamatnya menjadi lebih jelas, iaitu untuk belajar bersungguh-sungguh demi membanggakan dan membahagiakan ayahnya, walaupun ketika itu kesihatan bapanya yang menghidap kanser semakin merosot.

Memasuki tahun kedua pengajian, Ilyas mendapat firasat yang tidak menyenangkan apabila keadaan ayahnya semakin kritikal. 

Baru memasuki minggu pertama semester baharu, beliau mengambil keputusan untuk pulang dan bersyukur kerana masih sempat berada di sisi ayahnya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 2024.

Pemergian ayah selepas kehilangan ibu pastinya meninggalkan kekosongan yang sukar digambarkan. 

Namun, bagi Ilyas, kehilangan itu tidak pernah memadamkan impian yang dibina atas nama kedua-dua insan yang paling disayanginya.

“Apa yang membuatkan saya bangkit selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa ialah niat asal saya untuk membanggakan mereka. 

“Walaupun sekarang mereka tidak lagi bersama saya di dunia, saya tetap mahu membanggakan mereka kerana saya masih bergelar anak kepada Amir dan Hayati,” katanya penuh makna.

Dalam meneruskan pengajian, Ilyas turut berusaha berdikari dengan membantu menguruskan parcel di UMPSA serta bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood bagi menampung perbelanjaan harian. 

Tambahnya lagi dalam mengimbangi tuntutan akademik, pekerjaan dan emosi selepas kehilangan ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah, namun pengalaman itu mendidiknya menjadi lebih tabah, berdisiplin dan menghargai setiap peluang yang hadir.

Usahanya turut membuahkan hasil apabila beliau menerima Biasiswa Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) pada tahun kedua pengajian ijazah. 

Baginya, biasiswa tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu bentuk kepercayaan terhadap potensi dirinya untuk terus maju walaupun berdepan ujian kehidupan.

Sepanjang pengajian di UMPSA, Ilyas berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 dalam Kelas Pertama, selain menerima Anugerah PNGK Terbaik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta Anugerah Dekan pada setiap semester.

Beliau turut membuktikan keupayaan dalam bidang inovasi apabila projek ‘KiBO: Sight Word Gamification for Children with Dyslexia berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas FTKMA di CITREX 2025.

Kini, Ilyas telah memulakan kerjaya sebagai Jurutera di ASE Malaysia dan berhasrat untuk terus memperkukuh kemahiran teknikal serta menyumbang kepada pembangunan teknologi dan inovasi.

Ujarnya, kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah penamat kepada perjuangan sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk membina masa depan yang baik dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Walaupun impian saya untuk membawa ibu dan ayah naik ke pentas tidak kesampaian, kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang menjadi bukti bahawa kasih sayang dan didikan mereka terus hidup dalam setiap langkah yang diambil,” katanya.

Sesungguhnya, di sebalik segulung ijazah yang digenggam, tersimpan sebuah kisah tentang seorang anak yang tidak pernah berhenti berusaha untuk membanggakan ibu bapanya, walaupun takdir tidak mengizinkan mereka untuk bersama-sama meraikan kejayaan tersebut.

Ilyas Hakim Amir menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias pada sesi terakhir Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Pekan. 

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri