Skip to main content

Kekurangan bukan halangan Muhammad Adhwa berjaya genggam ijazah

GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Muhammad Adhwa Mohd Salemi, 24, membuktikan kekurangan dirinya bukanlah batu penghalang untuknya terus berjaya mengenggam ijazah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19. 

Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai halangan untuk terus maju.

Menurutnya lagi, beliau akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Penyelidikan di UMPSA.

Katanya, ini membuktikan bahawa tiada batasan yang dapat menghalangnya untuk terus melangkah ke depan.

“Menjadi seorang OKU penglihatan adalah satu cabaran yang besar, namun saya melihat ia sebagai satu peluang untuk diri saya memperkukuhkan kekuatan dalaman dan mengasah kemahiran teknikal dan sosial. 

“Saya juga percaya setiap cabaran adalah peluang untuk belajar, berkembang, dan memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya lagi.

Muhammad Adhwa juga sangat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat. 

Beliau merupakan sukarelawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terlibat dalam program Duta Kenali Ubat Anda, dan aktif membantu komuniti dalam pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat serta kendiri. 

Kekurangan bukan halangan Muhammad Adhwa berjaya genggam ijazah

Malah, beliau juga merupakan alumni Axiata Young Talent Programme dan Axiata Digital Leaders Programme. 

Katanya, program-program ini banyak membentuk dirinya dalam aspek kepimpinan digital dan pembangunan diri dan memberikanya ilmu untuk terus maju dalam dunia yang semakin mencabar ini.

“Saya juga merupakan alumni Yayasan Tunku Abdul Rahman.

“Penglibatan dalam yayasan ini memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan kendiri. 

“Pengalaman ini memperkukuhkan lagi hasrat saya untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Namun, Muhammad Adhwa tidak lupa bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan dan bimbingan yang tidak putus daripada orang-orang yang rapat dengannya. 

Ujarnya, beliau tidak mungkin berjaya tanpa bimbingan dan sokongan keluarga, terutama ibuanya yang menjadi sumber inspirasi. 

“Begitu juga adik-beradik dan rakan-rakan saya yang sentiasa berada di sisi, memberi semangat dan kekuatan sepanjang saya menempuh pelbagai cabaran. 

“Setiap kejayaan yang dicapai adalah cerminan daripada dedikasi dan kasih sayang mereka yang dekat dengan saya. 

“Selain itu, saya juga kini dalam proses menjadi ahli sukarelawan tetap di bawah Mercy Malaysia,” ujarnya. 

Beliau berpeluang berkhidmat kepada komuniti tempatan dan antarabangsa yang memerlukan. 

Di samping itu juga, beliau turut terlibat dengan Global Peace Foundation Malaysia, yang memberi fokus kepada komuniti yang serba kekurangan, terutama masyarakat Orang Asli di Pahang. 

Penglibatan dalam organisasi-organisasi ini ternyata mengukuhkan lagi tekadnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti yang kurang bernasib baik, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. 

Satu lagi pengalaman berharga dalam hidup Adhwa ialah apabila beliau mengikuti program mobiliti ke Turki selama satu semester. 

Katanya, pengalaman itu benar-benar membuka mindanya terhadap pelbagai perspektif baharu dari segi pelajaran, sosial, dan komuniti. 

“Pengalaman di Turki mengajar saya tentang erti kelangsungan hidup dalam keadaan yang berbeza, berada jauh dari keluarga dan negara tercinta. 

“Namun, itulah yang menjadikan saya lebih matang, berdikari, dan menghargai peluang yang ada di sekeliling saya. 

“Bagi saya, penerimaan ijazah ini bukan hanya sekadar satu kejayaan peribadi, ia adalah simbol kepada semua cabaran yang berjaya saya ditempuhi, setiap pengorbanan yang dilakukan, dan setiap detik kesungguhan yang dicurahkan,” ujarnya. 

Malah, katanya, ia adalah lebih daripada itu, iaitu ia merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan impian untuk terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kendiri, dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

"Menerima ijazah ini bukanlah penamat, sebaliknya ia adalah permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. 

“Justeru, saya percaya, dengan usaha dan sokongan yang berterusan, tiada batasan yang tidak dapat diatasi. 

“Inilah jalan yang saya pilih dan saya yakin akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tekad,”  tambahnya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri