Skip to main content
Kerja, keluarga dan cabaran Pandemik COVID-19 tidak halang Nurul Farahanna terima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced

Kerja, keluarga dan cabaran Pandemik COVID-19 tidak halang Nurul Farahanna terima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced

PEKAN, 3 November 2026 – Belajar sambil bekerja bukanlah sesuatu yang mudah. 

Bagi Nurul Farahanna Azmi, 41, perjalanan menamatkan pengajian menjadi lebih mencabar apabila beliau bukan sahaja perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, malah turut melalui pandemik COVID-19, kehamilan, masalah kesihatan dan kekangan kewangan.

Ada ketika pengajiannya terpaksa ditangguhkan. Namun, keinginan untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan membuatkan anak kelahiran Banting, Selangor itu memilih untuk terus bertahan dan melangkah.

Kesungguhan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71 dan terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Profesional/Eksekutif) bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Katanya, beliau percaya bahawa konsistensi lebih penting daripada kepantasan. 

“Walaupun langkah yang diambil kecil dan perlahan, usaha yang berterusan pasti membawa kita semakin dekat kepada kejayaan,” ujarnya. 

Nurul Farahanna kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia di D’Wharf Hotel & Service Residence, Port Dickson. 

Di sebalik kesibukan menguruskan hal ehwal pekerja dan organisasi, beliau sendiri pernah melalui fasa kehidupan yang menuntut disiplin, kesabaran dan pengurusan masa yang tinggi.

Nurul Farahanna memulakan pengajian ketika masih bekerja dan sempat merasai pengalaman pembelajaran secara bersemuka sebelum negara dilanda Pandemik COVID-19.

Apabila pandemik melanda, perjalanan pengajiannya berubah. 

Pengajian terpaksa ditangguhkan sebelum pembelajaran kemudiannya diteruskan secara dalam talian.

Dalam tempoh yang sama, beliau mengalami alahan teruk ketika mengandung dan kemudiannya melahirkan anak. 

Keadaan tersebut menyebabkan pengajiannya sekali lagi perlu ditangguhkan untuk suatu tempoh.

Belum selesai dengan cabaran itu, beliau turut berdepan kekangan kewangan apabila perlu membiayai sendiri yuran pengajian tanpa pinjaman.

Namun, di tengah-tengah tuntutan kerja, keluarga dan pengajian, beliau tetap mencari ruang untuk meneruskan apa yang telah dimulakan.

Ujarnya, sepanjang menuntut di UMPSA, beliau mendapat banyak pengalaman dan cabaran yang mengajar saya untuk menjadi lebih berdikari dan pandai mengurus masa.

“Saya belajar sambil bekerja, jadi saya perlu membahagikan masa antara kerja, pembelajaran dan keluarga.

“Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa perjalanan menuju kejayaan tidak semestinya berjalan mengikut perancangan. 

“Ada kalanya seseorang perlu berhenti seketika sebelum mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan langkah,” katanya. 

Peralihan daripada pembelajaran bersemuka kepada dalam talian memberikan pengalaman yang berbeza buat Nurul Farahanna.

Sebagai seorang yang belajar sambil bekerja, fleksibiliti pembelajaran membantunya mengimbangi komitmen terhadap pengajian dan pekerjaan. 

Tugasan berkumpulan dan perbincangan bersama rakan-rakan pula memberikan ruang untuk terus berkongsi pandangan dan pengalaman.

Pada masa yang sama, pengalaman di tempat kerja membolehkannya melihat pembelajaran daripada perspektif yang lebih praktikal apabila sebahagian ilmu yang dipelajari dapat dikaitkan dengan situasi sebenar dalam kerjaya.

Beliau turut menghargai peranan tenaga pengajar yang sentiasa memberikan sokongan, sama ada ketika sesi pembelajaran secara bersemuka mahupun selepas kaedah pembelajaran beralih ke dalam talian.

Bagi beliau, pengalaman menuntut di UMPSA akhirnya membawa lebih daripada pencapaian akademik. 

“Ia turut mengajar saya tentang disiplin, kesabaran, pengurusan masa dan keberanian untuk meneruskan perjalanan ketika keadaan tidak berjalan seperti yang dirancang,” jelasnya.

Seiring perjalanan akademiknya, Nurul Farahanna turut membina pengalaman yang luas dalam bidang sumber manusia, khususnya dalam industri perhotelan.

Beliau pernah mengetuai fungsi sumber manusia di Gold Coast International Morib sebelum meneruskan kerjaya di Dash Box Hotel, Cyberjaya dan seterusnya D’Wharf Hotel & Service Residence di Port Dickson.

Sepanjang perjalanan tersebut, beliau mengendalikan pelbagai aspek pengurusan sumber manusia termasuk pengambilan dan pembangunan pekerja, penggajian, hubungan pekerja, pengurusan prestasi, kebajikan kakitangan serta pematuhan terhadap undang-undang pekerjaan.

Penglibatannya dalam bidang itu turut berkembang di luar tempat kerja apabila beliau aktif bersama Malaysian Association of Hotels (MAH) Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Human Resources dan Exco Human Resources. 

Nurul Farahanna juga pernah menerima pengiktirafan sebagai Ketua Jabatan Terbaik di tempat kerjanya. 

Pengalaman mengurus manusia dalam kerjayanya dan pengalaman mengurus cabaran dalam kehidupan sendiri menjadikan perjalanan Nurul Farahanna satu proses pembelajaran yang berterusan, sama ada di dalam mahupun di luar bilik kuliah.

Selepas melalui perjalanan yang panjang, berita pemilihannya sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan membawa makna yang cukup besar buat Nurul Farahanna.

“Saya berasa sangat terharu, gembira dan bersyukur. 

“Bagi saya, anugerah ini sangat bermakna kerana ia merupakan penghargaan atas segala usaha dan cabaran yang saya lalui sepanjang menuntut di UMPSA, terutama dalam membahagikan masa antara kerja, pembelajaran dan keluarga,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, beliau tidak melupakan insan yang sentiasa berada di sisinya. 

Selain usaha dan disiplin diri, sokongan suami dan keluarga menjadi antara sumber kekuatan yang membantunya untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.

Kini, setelah berjaya menamatkan satu perjalanan yang penuh cabaran, Nurul Farahanna mahu terus berkembang dalam kerjaya, berani merebut peluang dan keluar daripada zon selesa untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Kisahnya mungkin bermula seperti kebanyakan individu yang kembali belajar sambil bekerja, namun perjalanan itu berubah apabila kehidupan menghadirkan cabaran demi cabaran.

Pandemik mengubah cara beliau belajar. 

Kehamilan memerlukan beliau berhenti seketika. 

Kekangan kewangan menguji kemampuan untuk meneruskan pengajian. 

Kerjaya dan keluarga pula tetap menuntut perhatian.

Namun, Nurul Farahanna memilih untuk kembali dan meneruskan langkah.

Mungkin tidak sepantas yang dirancang, tetapi seperti prinsip yang dipegangnya, langkah kecil yang dilakukan secara konsisten akhirnya membawa beliau ke pentas kecemerlangan.

Disediakan Oleh: Ainatun Nadrah Nordin, komunikasi Korporat Umpsa Advanced 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri