Ketabahan merentas jarak dan cabaran, Dr. Nurul Aien raih Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kecekalan mengharungi cabaran, disiplin dalam penyelidikan dan sokongan keluarga menjadi antara kekuatan utama yang membawa Dr. Nurul Aien Abd Aziz, 38, menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan seterusnya menerima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Beliau yang telah berkhidmat selama 11 tahun sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghargaan bermakna terhadap usaha, pengorbanan dan komitmen sepanjang perjalanan penyelidikannya.
Berasal dari Klang, Selangor dan dibesarkan di Segamat, Johor, Dr. Nurul Aien melihat kejayaan menamatkan pengajian PhD pada tahun 2026 sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan akademik dan profesionalnya, selain menjadi dorongan untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Menurutnya, perjalanan PhD bukan sekadar usaha memperoleh kelayakan akademik tertinggi, malah merupakan proses membina ketahanan diri, memperluas ilmu dan mempelajari erti kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Sepanjang pengajian di UMPSA, Dr. Nurul Aien aktif menyertai pelbagai program akademik, pertandingan inovasi, persidangan dan aktiviti pembangunan profesional yang membuka ruang untuk beliau mengembangkan potensi sebagai penyelidik.
Antara pencapaian yang membanggakan ialah kejayaan meraih naib johan dalam pertandingan Three Minute Thesis (3MT) pada tahun 2023, selain mewakili UMPSA dalam pertandingan cabaran kajian kes di peringkat kebangsaan yang melibatkan pelbagai institusi pengajian tinggi.
Beliau turut meraih pingat emas dan Anugerah Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan inovasi ketika berada pada semester kelima pengajian PhD.
Penglibatan tersebut bukan sahaja memberikan peluang untuk mengetengahkan hasil penyelidikan, malah membantu meningkatkan kemahiran pembentangan, pemikiran kritis dan keupayaan menyampaikan idea penyelidikan secara berkesan.
Dalam bidang perkongsian ilmu, beliau pernah menjadi fasilitator Bengkel Penulisan Artikel Akademik di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah serta pengacara majlis UMPSA Business Forum 2023.
Beliau juga aktif dalam persidangan dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan kewangan Islam dan wakaf kesihatan, di samping menyertai program khidmat masyarakat bersama komuniti Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Simpai.
Bagi Dr. Nurul Aien, pengalaman tersebut memperkukuh keyakinannya bahawa ilmu dan kepakaran yang diperoleh melalui penyelidikan perlu dikongsi serta dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat.
Mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah, isteri dan ibu sepanjang pengajian merupakan antara cabaran terbesar yang perlu ditempuhinya.
Beliau juga perlu berulang-alik setiap minggu dari Segamat, Johor ke Paya Besar, Pahang bagi mendapatkan bimbingan penyelia dan memastikan kemajuan penyelidikan serta penulisan tesis berjalan secara konsisten.
Perjalanan tersebut menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kos, selain memerlukan perancangan rapi untuk menyelaraskan komitmen akademik dengan tanggungjawab terhadap keluarga.
Dalam tempoh pengajian, beliau turut berhadapan dengan cabaran kesihatan yang sekali-sekala menjejaskan kelancaran penyelidikan.
Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan PhD.
Katanya, prinsip hidup beliau ialah jangan pernah berputus asa, sentiasa percaya pada aturan Allah SWT dan lakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang diusahakan.
“Bagi saya, setiap cabaran dan kesukaran bukanlah pengakhiran, sebaliknya peluang untuk menjadi insan yang lebih kuat dan matang.
“Setiap tanggungjawab yang diberikan juga merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Doa dan sokongan keluarga, khususnya ibu bapanya, ibu mentua, suami, anak serta adik kembarnya, sebagai sumber kekuatan sepanjang melalui fasa pengajian yang mencabar,” ujarnya.
Penghargaan turut diberikan kepada penyelia utama dan penyelia bersama yang sentiasa membimbing, selain UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan melalui penajaan biasiswa dan kemudahan cuti belajar.
Mengulas pengalaman sepanjang menuntut di UMPSA, Dr. Nurul Aien menyifatkan universiti itu menyediakan persekitaran pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif untuk perkembangan akademik pelajar pascasiswazah.
Kemudahan bilik belajar yang boleh digunakan selama 24 jam, ruang pembelajaran yang selesa serta akses internet banyak membantu beliau menguruskan masa penyelidikan dan penulisan tesis mengikut keperluan.
Selain kemudahan fizikal, penganjuran bengkel, seminar, persidangan dan pertandingan akademik turut menyediakan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran penyelidikan serta membina jaringan profesional.
Beliau turut menghargai komitmen para penyelia, pensyarah dan staf pentadbiran yang sentiasa memberikan bimbingan serta kerjasama sepanjang pengajian.
Menurutnya, pengalaman di UMPSA bukan sahaja memperluas pengetahuan dalam bidang penyelidikan, malah membina keyakinan untuk mencuba perkara baharu, keluar daripada zon selesa dan mengembangkan potensi diri sebagai ahli akademik.
Mengulas perasaannya apabila dipilih menerima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA, Dr. Nurul Aien melahirkan rasa syukur dan terharu kerana segala usaha serta pengorbanan sepanjang pengajian mendapat pengiktirafan.
Baginya, anugerah tersebut bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian akademik, tetapi turut menjadi simbol kepada sokongan keluarga, bimbingan penyelia dan kepercayaan semua pihak yang membantu menjayakan perjalanan PhD beliau.
Beliau berhasrat untuk terus mengembangkan kerjaya sebagai ahli akademik dan penyelidik, khususnya dalam bidang kewangan Islam, wakaf serta kelestarian sosial.
Selain memperkukuh penyelidikan dan penerbitan ilmiah, beliau mahu menghasilkan kajian yang mempunyai nilai praktikal serta mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu, institusi dan kesejahteraan masyarakat.
Malah, beliau juga berhasrat untuk berkongsi pengalaman penyelidikan dan membimbing generasi akademik akan datang agar lebih ramai penyelidik dapat menghasilkan ilmu yang bermanfaat.
“Bagi saya, kejayaan memperoleh PhD bukanlah titik penamat kepada perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk terus menyumbang, berkongsi pengetahuan dan membimbing generasi akan datang,” katanya.
Mengakhiri perbualan, beliau berpesan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian agar tidak membandingkan perjalanan sendiri dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai cabaran dan tempoh kejayaan yang berbeza.
Sebaliknya, beliau menggalakkan pelajar untuk terus berusaha, berdoa, bersabar dan yakin terhadap kemampuan diri dalam menghadapi setiap cabaran.
Kejayaan Dr. Nurul Aien Abd Aziz membuktikan bahawa komitmen terhadap ilmu, ketekunan dalam penyelidikan dan kecekalan menghadapi cabaran mampu membuka ruang kepada pencapaian yang lebih bermakna, sekali gus memperkukuh peranan ahli akademik dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan masyarakat.
Oleh: WALLID WAHIDI HAMZAH, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 5 views
Reports by: