Skip to main content
Ketekunan dan kasih sayang keluarga pemangkin Sharifah Nadia raih Anugerah Emas UMPSA

Ketekunan dan kasih sayang keluarga pemangkin Sharifah Nadia raih Anugerah Emas UMPSA

PEKAN, 1 November 2026 – Peluang melangkah ke menara gading bukan sekadar memburu segulung skrol, sebaliknya menjadi medan pembuktian bahawa disiplin diri, bakti kepada komuniti dan kecemerlangan intelek mampu diadun selari. 

Ia dibuktikan oleh graduan Diploma Kejuruteraan Kimia, Sharifah Nadia Syed Mohd Saufi, 21, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Universiti bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21. 

Graduan kelahiran Kuantan ini mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83, sekali gus melayakkan beliau meraih Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang tempoh pengajian. 

Kecemerlangan anak sulung daripada lima beradik ini membawa erti yang cukup mendalam.

Beliau merupakan zuriat kepada dua warga pendidik UMPSA sendiri, iaitu Profesor Madya Ir. Dr. Syed Mohd Saufi Tuan Chik, 47, dan Profesor Madya Ts. Dr. Norida  Ridzuan, 47. 

Bagi Sharifah Nadia, membesar dengan melihat keringat ibu bapa mendidik generasi muda menyuntik azam untuk menghadiahkan kejayaan terbaik di kampus UMPSA tempat kedua-dua insan kesayangannya menabur khidmat. 

Ujarnya, kejayaan ini adalah detik paling bernilai untuk membalas jasa serta doa berterusan daripada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan. 

“Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa syukur ini selain melihat senyuman kebanggaan terukir pada wajah mereka," katanya. 

Sepanjang bergelar pelajar diploma, beliau bukan sahaja cemerlang di dewan kuliah, malah aktif mengasah kemahiran insaniah. 

Beliau menggalas peranan penting dalam jawatankuasa Society of Petroleum Engineers Student Chapter (SPE UMPSA SC), menjadi Pengarah Program bagi Kempen Derma Darah ‘Setitis Darah, Sejuta Harapan’, serta menggalas tugas selaku Penyelaras Program Mobiliti Antarabangsa SPEXPETRA. 

Di gelanggang sukan, ketangkasannya terserlah menerusi skuad bola jaring fakulti sehingga berjaya merangkul pingat emas dan gangsa dalam kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC), di samping meraih pingat gangsa pada kejohanan Superleague. 

Sharifah Nadia turut bergiat aktif dalam kerja kesukarelawanan rentas sempadan menerusi misi kebajikan di Panti Asuhan Al-Akbar, Pekanbaru, Indonesia, selain inisiatif komuniti setempat seperti Kuantan Beach Care Collective dan Zoo Corps Kemaman. 

Mengulas mengenai rahsia kejayaannya membahagikan masa antara komitmen akademik yang padat, sukan dan kepimpinan, beliau menjelaskan bahawa kesibukan menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum dan berorganisasi melatihnya lebih berdisiplin. 

"Bagi saya, cabaran utama mahasiswa ialah pengurusan masa. 

“Namun, menyertai aktiviti kelab tidak mengganggu tumpuan, sebaliknya mendidik saya menghargai setiap detik dan menjadi lebih teratur. 

“Prinsip saya ialah 'hidup untuk hari ini', laksanakan setiap amanah hari ini dengan komitmen penuh tanpa bertangguh," jelasnya. 

Beliau turut memuji ekosistem pembelajaran di UMPSA yang mengintegrasikan aspek teori dan amali secara seimbang, disokong oleh fasiliti makmal bertaraf industri serta keprihatinan para pensyarah yang mengamalkan komunikasi dua hala secara kondusif. 

Kini, Sharifah Nadia menyambung perjuangan akademiknya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian di universiti yang sama dan berazam untuk terus memanfaatkan ilmu teknikal bagi menyumbang kembali kepada pembangunan industri dan masyarakat. 

Oleh: ROSIDAH HASSAN, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN KIMIA DAN PROSES (FTKKP)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri