Khay Wey terima Hadiah Kecemerlangan Industri Setegap Ventures Petroleum
KUANTAN, 17 Mac 2022 – Mahasiswa Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses), Ng Khay Wey, 23, tidak menyangka akan terpilih selaku penerima Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd. sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15.
Beliau menerima hadiah yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor pada sesi pertama dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.
Anak jati Kuantan, Pahang ini berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 di samping memperoleh Anugerah Dekan sebanyak empat semester.
Ujarnya, UMP merupakan sebuah universiti yang mempunyai kemudahan hebat di samping para pensyarah yang profesional serta bertanggungjawab dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang baik kepada pelajar.
“Nilai kerjasama adalah salah satu nilai terpenting yang saya pelajari di UMP.
“Kebanyakan pengajaran di UMP menekankan kepada kemahiran berfikir secara kritikal tetapi kita selalu berurusan dengan orang ramai.
“Oleh itu, kita perlu belajar bekerjasama dalam menghadapi apa jua rintangan," katanya.
Katanya, walau dalam apa jua keadaan yang pernah kita lalui sama ada baik atau buruk, percayalah ia membentuk kita pada hari ini.
“Jadi percayalah pada diri sendiri,” ujarnya.
Anak bongsu dari tiga beradik ini menjadikan keluarganya antara penyumbang terbesar kejayaannya.
Tambahnya, bapanya yang sentiasa memberi sokongan dan menghantar ke asrama tanpa mengeluh serta ibu yang sentiasa memasak masakan kegemaran beliau menjadikan tindakan mereka ini memberi dorongan yang besar buat beliau sepanjang tempoh pengajian di UMP.
Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Jiawei menasihati mahasiswa untuk menggunakan masa sewaktu pandemik ini dengan bijak untuk membangunkan kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran dengan melakukan apa sahaja untuk peningkatan diri.
Ng Khay Wey kini melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 211 views