Leong Ying Foo sambung PhD kerana minat yang mendalam terhadap Penyelidikan
GAMBANG, 25 Oktober 2024 – Minat yang mendalam terhadap bidang penyelidikan telah mendorong seorang penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) iaitu Leong Ying Foo, 26 untuk menceburi bidang tersebut ketika pengajiannya di universiti ini.
Leong Ying Foo adalah penerima pingat emas selepas memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.79 dan sekali gus melayakkan beliau menerima Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19.
Beliau menerima anugerah yang disampaikan Tuanku Pro-Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi 1 dalam majlis tersebut yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Leong yang kini menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor falsafah (PhD) di UMPSA berkata, minat tersebut bercambah apabila beliau menyertai sebuah pertandingan reka cipta dan inovasi iaitu CITREX pada tahun ini menerusi projek ‘Bokashi Compost Monitoring Bin’ dan telah memenangi pingat emas.
Ujarnya, beliau juga telah menyertai pertandingan yang sama di peringkat negeri dan meraih pingat emas.
“Kejayaan inilah yang mendorong saya untuk terlibat dalam bidang penyelidikan dan mahu menjadikan ia sebagai kerjaya apabila selesai pengajian kelak.
“Pada tahun ini juga, saya dan beberapa penyelidik yang lain turut terlibat untuk menerbitkan tiga kertas kerja penyelidikan untuk dibentangkan di persidangan antarabangsa di Malaysia dan Jepun.
“Kejayaannya tidak akan dikecapi jika tiada bantuan daripada ibu bapa tercinta, Leong Sun Meng, 62, dan Lui Yoon Kheng, 59, para pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau amat terharu dengan pengorbanan kedua ibu bapanya yang sering memberikan dorongan dan sokongan yang tidak berbekah bahagi terhadap minat saya ini.
“Kepada pensyarah dan rakan-rakan pula, terima kasih kerana sering memberi tunjuk ajar dan nasihat untuk melakukan sesuatu perkara.
“Saya berharap agar kejayaan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk menyelesaikan Ph.D saya tepat pada waktunya.
“Impian saya buat masa ini adalah untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang memberi impak kepada negara,” katanya ketika mengakhiri perbualan.
Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
- 94 views