Skip to main content
Lim Jia Xin raih Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings hasil kecemerlangan akademik dan inovasi 

Lim Jia Xin raih Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings hasil kecemerlangan akademik dan inovasi 

PEKAN, 1 NOVEMBER 2026 – Pencapaian cemerlang dalam bidang Bioteknologi Industri membawa Lim Jia Xin, 24, menerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Graduan dari Johor Bahru itu menamatkan pengajian dengan PNGK 3.80 dan Kepujian Kelas Pertama. 

Sepanjang empat tahun pengajian, beliau turut menerima Anugerah Dekan pada setiap semester. 

Selain cemerlang dalam akademik, beliau aktif meneroka penyelidikan, menyertai pertandingan inovasi dan mengembangkan kemahiran kepimpinan melalui debat.

Baginya, kejayaan tidak bermula hanya apabila seseorang sudah yakin atau bersedia. 

“Sebaliknya, seseorang perlu berani mengambil langkah pertama, mencabar kemampuan diri dan belajar daripada setiap pengalaman.

“Sebaliknya, kita perlu berani mengambil peluang, mencabar kemampuan diri dan belajar sepanjang perjalanan tersebut,” katanya.

Pegangan itu tercermin pada malam sebelum peperiksaan apabila beliau terlalu memikirkan persediaan sehingga tidak dapat melelapkan mata. 

Antara pengalaman penyelidikan paling bermakna baginya ialah projek tahun akhir yang mengkaji potensi kanji dan minyak pati serai sebagai bahan pembungkusan makanan mesra alam serta boleh terbiodegradasi.

Di bawah penyeliaan Dr. Aishah Mohd Marsin, beliau menghasilkan filem boleh dimakan berasaskan kanji kentang, ubi kayu dan jagung. 

Beliau kemudian menguji ketebalan, ketelusan, kandungan air serta keupayaan bahan itu menentang mikrob.

Penyelidikan bertajuk LEOs Films: Sustainable Starch-Based Antimicrobial Food Packaging itu meraih anugerah emas dalam 2nd International Development, Research and Innovation Exhibition (iDRIVE’25). 

Beliau turut membentangkan hasil penyelidikan tersebut dalam 3rd International Conference on Industry-Academia Initiatives in Biotechnology and Chemistry (ICIABC2025).

Beliau juga menyumbang kepada pembangunan inovasi BioGlow Postbiotic Honey Lip Balm, yang meraih Emerging Researcher Award serta anugerah emas dalam FINO/FIMiEx.

Penglibatannya dalam pelbagai projek penyelidikan dan inovasi membuka perspektif bahawa idea bukan sekadar perlu menarik, malah perlu dibuktikan melalui kajian saintifik, ketekunan dan penambahbaikan berterusan. 

Saya sangat menghargai sokongan penyelia yang memberi kebebasan untuk meneroka idea sendiri dan menggalakkan penyertaannya dalam pertandingan penyelidikan serta inovasi.

“Di luar makmal, saya mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan sebagai ketua Pasukan Debat Bahasa Cina UMPSA. 

“Tanggungjawab saya termasuklah menyelaras latihan, membimbing ahli pasukan dan membuat persediaan bagi pertandingan seperti Pertandingan Debat Bahasa Cina antara Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Ke-19 dan Ke-20, The 4th Sunway University Mandarin Debate Tournament serta 4th UTM International Varsity Mandarin Debate Championship,” katanya. 

Pada tahun 2026, beliau turut meraih tempat naib juara dalam pertandingan podcast bahasa Cina sempena Higher Education Language Carnival (HELCA 2026). 

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Science Industry and Technology Experts Society (SCITEXS), dengan tanggungjawab mengurus minit mesyuarat dan dokumentasi persatuan.

Jika penyelidikan mendidiknya berfikir secara kritis dan teliti, dunia debat pula membentuk keberanian untuk menyampaikan pandangan, menyusun hujah serta menghormati perspektif orang lain.

Beliau mengakui komitmen akademik dan kokurikulum bukan mudah untuk diseimbangkan. Beliau pernah menyiapkan laporan projek tahun akhir di hotel ketika bercuti, malah terpaksa menghadiri dua mesyuarat yang berlangsung serentak kerana jadual yang padat.

“Apabila dikenang semula, memang penat, tetapi semua pengalaman inilah yang menjadikan kehidupan universiti saya lebih bermakna dan sukar dilupakan,” katanya.

Perjalanan itu menjadi lebih bermakna dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa sedia mendengar ketika beliau berdepan kesukaran. 

Perjalanan kira-kira lapan jam antara Johor dengan Pahang, ditambah perkhidmatan bas yang ketika itu hanya tersedia sekali sehari, menjadi antara cabaran tinggal berjauhan daripada keluarga. 

Pengalaman itu mengajarnya untuk lebih berdikari, menghargai pengorbanan insan tersayang dan menjadikan setiap peluang untuk pulang serta berkumpul bersama keluarga begitu berharga.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atas bantuan pembiayaan pendidikan yang membolehkannya menamatkan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

Pengalaman pembelajaran di universiti turut diperkaya melalui latihan industri di Skinlab Biochem Resources (M) Sdn. Bhd. yang memberinya pendedahan sebenar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Sepanjang latihan itu, beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan formulasi produk penjagaan kulit dan kosmetik, selain menjalankan ujian kestabilan serta keserasian bagi memastikan kualiti dan keberkesanan produk.

Beliau percaya setiap usaha memerlukan masa untuk membuahkan hasil. 

“Jika hasil yang diharapkan masih belum kelihatan, itu tidak bermakna usaha kita sia-sia, sebaliknya mungkin masanya belum tiba.

“Saya percaya keberanian membuka peluang, usaha membina kejayaan dan kesabaran akan membawa kita ke saat yang tepat,” katanya.

Oleh: NUR HARTINI MOHD HATTA, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri