Skip to main content
Loh Min Er raih 2 Anugerah Emas menerusi inovasi aplikasi mudah alih pintar

Loh Min Er raih 2 Anugerah Emas menerusi inovasi aplikasi mudah alih pintar

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Loh Min Er, membuktikan keupayaannya dalam bidang Teknologi apabila berjaya meraih dua Anugerah Emas menerusi projek tahun akhirnya yang membangunkan aplikasi mudah alih pengurusan perkhidmatan automotif pintar untuk Cheng Eng Auto Accessories.

Graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem dan Rangkaian Komputer) dengan Kepujian dari Fakulti Komputeran itu menerima pengiktirafan berkenaan dalam FYPro-Com Exhibition bagi kategori Projek Tahun Akhir Prasiswazah pada bulan Januari 2026 dan 16th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2026 pada bulan Mei 2026.

Kejayaan tersebut melengkapkan perjalanan akademiknya di UMPSA apabila beliau menamatkan pengajian dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94 serta meraih Anugerah Dekan pada setiap semester dan Anugerah Kecemerlangan Tertinggi bagi program pengajiannya.

Menurut Loh Min Er, 24, projek tahun akhir tersebut merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya kerana beliau perlu menerokai bidang pembangunan aplikasi mudah alih yang baharu baginya, meskipun pengkhususannya adalah dalam sistem komputer dan rangkaian.

“Pada awalnya, saya melihat projek ini sebagai satu cabaran besar kerana saya belum pernah mengambil kursus pembangunan aplikasi mudah alih. 

“Namun, disebabkan minat untuk menceburi bidang pembangunan perisian, saya mengambil keputusan untuk mencuba dan mempelajari perkara baharu.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kita tidak semestinya perlu mengetahui segala-galanya sebelum memulakan sesuatu,” ujarnya. 

Katanya, dengan kesungguhan, usaha yang konsisten dan kesediaan untuk belajar, kita mampu mencapai sesuatu yang pada awalnya kelihatan sukar,” katanya.

Aplikasi yang dibangunkan menggunakan teknologi Flutter, Supabase, Google Gemini dan Stripe itu bertujuan mendigitalkan operasi bengkel automotif melalui satu platform bersepadu yang merangkumi tempahan perkhidmatan, pengurusan kenderaan, permintaan perkhidmatan tunda, program ganjaran dan penjejakan penyelenggaraan.

Integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), pangkalan data masa nyata, pembayaran dalam talian serta perkhidmatan peta dan lokasi turut menyokong fungsi aplikasi berkenaan bagi meningkatkan kemudahan pelanggan dan kecekapan operasi bengkel.

Loh Min Er berkata, pengalaman menuntut di UMPSA turut membentuk keupayaannya untuk meneroka bidang baharu apabila beliau beralih daripada aliran sains tulen kepada sains komputer tanpa mempunyai asas yang kukuh dalam bidang tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pada peringkat awal pengajian, beliau memberikan tumpuan kepada penguasaan konsep asas, pengaturcaraan dan kandungan kursus sebelum mula aktif meneroka peluang pembelajaran di luar bilik kuliah.

“Saya mengambil inisiatif mengikuti kursus dan pensijilan tambahan dalam bidang pengaturcaraan, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan kecerdasan buatan. 

“Saya juga menyertai hackathon, pertandingan serta pameran teknologi untuk meluaskan pengetahuan dan mendapatkan pendedahan kepada penyelesaian inovatif yang dibangunkan oleh peserta lain,” tambahnya. 

Selain kecemerlangan akademik, beliau turut aktif dalam aktiviti kokurikulum, termasuk berkhidmat sebagai setiausaha bagi program UMPSA x Huawei AppGallery Mobile App Competition selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2023 dan 2024.

Beliau juga memiliki pensijilan Huawei Certified ICT Associate – Artificial Intelligence (HCIA-AI), Microsoft Certified: Azure Fundamentals serta pensijilan berkaitan rangkaian Cisco yang membantu memperkukuh pengetahuan dan kemahiran teknikalnya.

Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara praktikal yang diterapkan di UMPSA turut memberikan kelebihan kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar, selain menyediakan asas kukuh dalam bidang pengkomputeran dan teknologi rangkaian.

Beliau turut menghargai sokongan para pensyarah, khususnya penyelia projek tahun akhirnya, Ts. Dr. Nabilah Filzah Mohd Radzuan, yang memberikan bimbingan sepanjang proses pembangunan projek dan menggalakkannya menyertai CITREX 2026.

Penghargaan turut diberikan kepada Ts. Dr. Hoh Wei Siang yang banyak berkongsi maklumat pertandingan serta memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha program bertaraf nasional.

Ujarnya, selain ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan, beliau amat menghargai pensyarah dan rakan-rakan yang membantunya mengatasi cabaran teknikal, berkongsi pengalaman serta memberikan semangat sepanjang pengajian.

“Kejayaan ini bukan hasil usaha saya seorang, sebaliknya turut didorong oleh sokongan dan kepercayaan mereka yang sentiasa berada di sisi saya,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian, Loh Min Er kini mengikuti program peningkatan kemahiran selama tiga bulan di Gamuda AI Academy, Kuala Lumpur.

Program tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi AI secara menyeluruh, termasuk pembangunan frontend dan backend, pengkomputeran awan serta pembangunan AI.

Beliau berhasrat untuk membina kerjaya sebagai jurutera AI, khususnya dalam bidang teknologi ejen AI (AI agents), di samping terus memperkukuh kemahiran melalui pembelajaran kendiri dan pembangunan projek.

Katanya, beliau ingin membangunkan produk teknologi yang bermakna dan mampu menangani masalah sebenar masyarakat. 

“Bagi saya, teknologi hanyalah medium untuk menyelesaikan masalah, manakala nilai sebenarnya terletak pada manfaat yang diberikan kepada manusia,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada pelajar agar berani meneroka minat, mencuba perkara baharu dan tidak terlalu bimbang sekiranya masih belum menemui hala tuju kerjaya.

“Setiap pengalaman, termasuk kegagalan, boleh menjadi ruang pembelajaran yang membuka peluang baharu sekiranya seseorang bersedia menilai semula keadaan, memperbaiki diri dan terus melangkah ke hadapan,” ujarnya. 

Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri