Loo Chang Herng terima Anugerah Naib Canselor UMPSA, kejar impian bergelar Jurutera Perisian
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 yang berlangsung hari ini, Loo Chang Herng, 24 begitu teruja dan gembira apabila menerima anugerah tersebut daripada Pro-Canselor, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, beliau berasa sangat teruja dan gembira apabila menerima e-mel bahawa dirinya telah terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor.
“Saya amat berterima kasih kepada UMPSA kerana telah memilih saya sebagai penerima anugerah ini.
“Kejayaan saya hari ini merupakan dorongan dan sokongan daripada orang-orang sekeliling iaitu keluarga, rakan-rakan, barisan pensyarah dan ramai lagi membantu saya dalam pelbagai cara,” ujarnya.
Loo Chang Herng turut menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian setelah empat tahun pengajiannya di UMPSA.
Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, beliau berhasrat untuk mengejar impiannya sebagai Jurutera Perisian.
“Saya bercita-cita untuk bekerja sebagai Jurutera Perisian bagi mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang empat tahun pengajian di UMPSA,” katanya.
Mendapat Anugerah Dekan bagi sepanjang semester pengajiannya dengan catatan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92, Loo Chang Herng turut aktif melibatkan diri dalam program universiti serta menyandang beberapa jawatan.
Beliau merupakan Exco Jabatan Kesenian dan Kebudayaan untuk 12th UMPSA Chinese Cultural Council (UMPSACCC) dan Penasihat Pelajar untuk 13th UMPSA Chinese Cultural Council (UMPSACCC).
Katanya, aktiviti kokurikulum yang disediakan oleh UMPSA membantu pelajar berkembang dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, kebudayaan, sukan selain daripada akademik,” ujarnya.
Terkesan dengan musim pandemik yang lalu, Loo Chang Herng turut berdepan kesukaran dengan sesi pembelajaran di UMPSA apabila dua tahun pertama pengajiannya, pembelajaran dijalankan secara dalam talian.
“Setiap pelajar perlu belajar dari rumah, disiplin diri diperlukan untuk membuat ulang kaji memandangkan rumah adalah tempat yang selesa yang menyebabkan kita agak malas.
“Saya memegang kepada prinsip untuk sentiasa bersedia dan jangan terlalu yakin walaupun pada perkara yang mudah,” katanya.
Loo Chang Herng turut berkongsi pengalamannya menyiapkan projek tahun akhir hingga mendapat anugerah 30 terbaik FYProCom.
Jelasnya lagi, projek ini sangat besar dan mempunyai beberapa bidang yang belum lagi beliau teroka.
“Saya menghabiskan cuti semester untuk menyiapkan projek tahun akhir dan berjaya mendapat beberapa anugerah menerusi projek tersebut.
“Projek Tahun Akhir saya yang bertajuk ‘Sistem Pengurusan Penilaian Projek Tahun Akhir’ bertujan untuk membantu para penyelaras projek tahun akhir, pensyarah, dan pelajar bagi menguruskan penilaian projek tahun akhir mereka.
“Ia mempunyai fungsi seperti pengurusan penilaian, pengurusan jadual penilaian, pengurusan penilaian industri, pengurusan rubrik, dan lain-lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, fungsi utama ialah penjadualan automatik untuk jadual penilaian.
“Ia akan menjana jadual penilaian secara automatik berdasarkan parameter seperti slot masa pensyarah yang tersedia, ketersediaan bilik pensyarah, kumpulan penyelidik pelajar dan pensyarah, dan beberapa syarat lain.
“Dalam fasa penyelidikan, saya turut mengkaji dan membandingkan tiga algoritma penjadualan yang berbeza dan memilih yang paling berkesan serta menggunakannya dalam algoritma penjadualan untuk penjanaan jadual.
“Saya mengambil masa selama enam bulan termasuk cuti semester untuk menyiapkan keseluruhan projek dengan bantuan penyelian, pensyarah Fakulti Komputeran, Zulfahmi Toh dan juga rakan-rakan saya,” ujarnya.
Tambahnya, projek tersebut sangat besar dan kompleks kerana ia terdiri daripada banyak modul.
“Saya amat menghargai bantuan mereka sehingga saya berjaya menyiapkan projek ini dan mendapat anugerah dalam pameran seperti CITREX,” tambahnya.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 103 views