Skip to main content
Mazlina genggam ijazah graduan perintis Program Biasiswa Sulung KPT

Mazlina genggam ijazah graduan perintis Program Biasiswa Sulung KPT

PEKAN, 2 November 2026 - Tiada kata yang mampu digambarkan rasa syukur bagi graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mazlina Marzuki, 23, apabila berjaya menamatkan pengajiannya hasil bantuan Biasiswa Sulung KPT. 

Mazlina berkata, UMPSA sememangnya menjadi pilihan pertamanya menerusi permohonan UPU, biarpun pada awalnya berasa ragu-ragu memikirkan jarak perjalanan yang jauh dari kampung halamannya di Kedah ke Pahang.

Mengimbau kembali detik awal empat tahun lalu, anak jati Kedah itu mengakui terkejut apabila menerima kunjungan daripada wakil Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA ke rumahnya semata-mata untuk menyampaikan khabar gembira mengenai tawaran penajaan biasiswa Sulung  berkenaan.

Mazlina genggam ijazah graduan perintis Program Biasiswa Sulung KPT

"Masih segar dalam ingatan saya, arwah mak pada mulanya berasa ragu-ragu dan sangsi dengan kehadiran pihak universiti ke rumah. 

“Namun, selepas diberi penjelasan, arwah mak dan ayah, Marzuki Mat Daud, begitu gembira serta terharu dengan rezeki yang tidak disangka-sangka ini.

"Syukur alhamdulillah, sepanjang tempoh pengajian, wang biasiswa itulah yang gunakan untuk saya menyara kos sara hidup dan menampung keperluan pembelajaran di kampus," katanya yang merupakan graduan perintis yang menerima Biasiswa Sulung KPT. 

Di sebalik kegembiraan menggenggam segulung ijazah, terselit duka yang mendalam di sudut hati Mazlina apabila insan yang paling banyak berkorban untuknya tidak sempat meraikan detik bersejarah itu bersama-sama.

Menurutnya, arwah ibunya telah menghembuskan nafas terakhir pada 26 April 2024 yang lalu akibat jangkitan kuman. 

"Hari konvokesyen ini terasa amat sayu kerana arwah mak tidak sempat melihat sendiri kejayaan saya di menara gading.

"Walaupun arwah sudah tiada, kejayaan ini saya dedikasikan sepenuhnya buat ayah dan arwah mak yang sentiasa berkorban dan mendoakan langkah saya selama ini," ujarnya sebak. 

Program biasiswa SULUNG menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada individu pertama daripada keluarga B40 yang diterima melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) dalam negara yang belum ada dalam kalangan adik beradik dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian di peringkat tersebut. 

Biasiswa SULUNG diberikan pengecualian yuran pengajian meliputi yuran berulang dan tidak berulang (one-off) sepanjang tempoh pengajian dalam meningkatkan mobiliti sosial serta taraf dan kualiti hidup pelajar dari kalangan keluarga B40 ke satu tahap yang lebih baik melalui akses serta pembiayaan kepada pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri