Mohamad Nor Iman rajin bekerja demi menggenggam segulung ijazah
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Melakukan pelbagai pekerjaan semasa belajar, Mohamad Nor Iman Mat Nasir, 27 tidak pernah berputus asa sehingga berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Baginya, semasa pandemik COVID-19 melanda dunia, detik itulah paling mencabar kerana beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian dari kampung halaman dengan capaian Internet yang kurang stabil, namun beliau tekad untuk terus mengikut kelas supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Katanya, setelah kembali ke kampus selepas pandemik, beliau mula mencari peluang untuk lebih berdikari dari segi kewangan.
“Selain daripada fokus kepada pengajian, saya juga mengambil inisiatif untuk bekerja sambilan sebagai mekanik di German Autocare Motorsport, sebuah bengkel yang pakar dalam membaiki kenderaan Eropah.
“Setiap kali ada kelapangan waktu di luar jadual kelas, saya akan membantu membaiki kereta pelanggan sekali gus memberi peluang berharga kepada saya untuk menimba pengalaman praktikal dalam bidang automotif.
“Saya juga mengambil langkah berani dengan menawarkan servis bergerak untuk penyelenggaraan kenderaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, tanpa disangka, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar, staf universiti dan juga penduduk setempat yang bukan sahaja membantu saya menjana pendapatan, tetapi juga mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Selain daripada menjadi mekanik, saya juga turut menjadi penghantar barang untuk J&T Express Malaysia, operator di bahagian logistic Mercedes-Benz dan pembasuh pinggan di Hotel Swiss Bell, Kuantan.
“Namun begitu, tidak dapat dinafikan, keseimbangan di antara kerja dan belajar bukanlah mudah kerana prestasi akademiknya mula merosot kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerja.
“Saya pernah kehilangan kelayakan pinjaman PTPTN kerana keputusan semester yang rendah dan memberi pengajaran penting buat saya,” katanya.
Justeru, beliau mula menyusun semula jadual harian dengan lebih efektif, membahagikan masa dengan lebih baik di antara belajar dengan bekerja.
“Akhirnya, saya berjaya meningkatkan prestasi akademik dan menyelesaikan pengajian saya dengan jayanya.
“Sepanjang tempoh ini, saya belajar banyak perkara iaitu menguruskan masa, berhadapan dengan cabaran pelanggan, sehinggalah kepada membangunkan kemahiran automotif yang lebih mendalam.
“Saya yakin semua pengalaman ini telah mempersiapkan saya untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau kini bekerja sebagai protégé ready to work di bahagian Construction Mechanical and Electrical di WCT Holding Berhad.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 156 views