Skip to main content

Mohammed Shawal Ian Fitri genggam dua ijazah serentak dalam bidang Kejuruteraan Rel

BEIJING, 8 Januari 2024 - Mohammed Shawal Ian Fitri, 25, meraih pengalaman belajar yang unik dan berharga apabila bergelar graduan di dua buah universiti setelah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Dual dalam bidang Kejuruteraan Rel di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di tahun pertama dan kedua sebelum meneruskan pengajian di Beijing Jiaotong University (BJTU), China tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun ketiga dan keempat.

Beliau adalah salah seorang daripada 45 orang pelajar UMPSA perintis kohort pertama yang berjaya menamatkan pengajian bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam dan diraikan dalam Majlis Graduasi yang berlangsung di BJTU China baru-baru ini.

Menurut Mohammed Shawal, beliau didedahkan kepada pendekatan akademik yang berfokus pada teori dan asas kejuruteraan, manakala di BJTU, beliau berpeluang menjalani latihan yang lebih praktikal dengan penekanan kepada penyelesaian masalah dunia sebenar.

“Kedua-dua pendekatan ini melengkapi satu sama lain dan memperkukuh pemahaman saya dalam bidang pengajian.

“Perbezaan ketara adalah struktur kurikulum dan gaya pengajaran. 

“Di Malaysia, pendekatan lebih berpusatkan pelajar dengan banyak melakukan aktiviti kerja berkumpulan, manakala di China pendekatan lebih formal dengan penekanan kepada disiplin dan ketepatan masa,” katanya.

Namun katanya, cabaran utamanya ialah menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan di BJTU yang sangat kompetitif dan menuntut penguasaan bahasa Mandarin.

“Saya mengikuti kelas bahasa tambahan dan membina hubungan baik dengan orang tempatan di sini untuk meningkatkan kemahiran bertutur,” ujarnya. 

“Memiliki ijazah dari UMPSA dan BJTU memberi kelebihan dalam pasaran kerja kerana kedua-dua university ini terkenal dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi, menjadikan lebih kompetitif di peringkat global.

“Malahan, pengalaman menetap dan belajar di China membuka perspektif baharu tentang kehidupan sebagai pelajar antarabangsa,” katanya.

Sebagai anak tunggal dalam keluarga, sokongan ibu, Regina Tinio amat bermakna buatnya. 
Beliau juga turut belajar untuk berdikari, menyesuaikan diri dengan budaya baharu dan mengembangkan rangkaian antarabangsa.

Selain itu, manfaat terbesar adalah pendedahan kepada budaya dan bahasa yang berbeza, yang meningkatkan kemahiran komunikasi dan kefahaman lintas budaya serta memperluaskan pandangan dunia dengan merantau di luar negara.

Beliau juga mendapat pengalaman kerja praktikal melalui dalam industri kereta api di China.

Pada masa kini, negara China telah mendahului industri kereta api dengan adanya keretapi api laju dan rangkaian kereta apinya yang luas.

Selepas graduasi, beliau merancang untuk bekerja dalam industri kejuruteraan kereta
api dan menyumbang semula kepada negara sendiri.

Kenangan paling bermakna ialah membina persahabatan dengan rakan-rakan daripada pelbagai
negara, menyaksikan kegembiraan orang yang disayangi apabila mencapai kejayaan
di luar negara, dan merasai eratnya persaudaraan dalam kalangan warga Malaysia yang berada di perantauan.

Beliau juga aktif dalam berpersatuan apabila menjadi antara orang Melayu yang pertama untuk memegang jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (Association of Malaysian Students inBeijing atau AMSIB) pada tahun 2023 hingga 2024.

Beliau juga sedang memegang jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Persatuan Pelajar Malaysia di China (Malaysian Students Association in China atau MSAC) dari tahun 2024 hingga kini.

Beliau berharap agar pelajar program UMPSA-BJTU yang datang bukan sahaja aktif dalam bidang akademik.

Malah, beliau menasihatkan para pelajar untuk aktif dalam kokurikulum seperti menyertai program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan menyertai Persatuan Pelajar Malaysia untuk membina rangkaian sosial yang luas, memperkukuh kemahiran interpersonal, dan menimba pengalaman yang dapat membantu dalam pembangunan diri serta kerjaya pada masa hadapan.

Mohammed Shawal Ian Fitri merupakan salah seorang pelajar cemerlang yang menerima anugerah daripada Secretary of the CPC Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam Majlis Graduasi Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU yang berlangsung di BJTU baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Turut serta rakannya, M Zheng Sheng, Chay Hew Shen, Lim Wei Jie dan Hsm Leng Yee. 

Seramai 101 orang pelajar UMPSA kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi program ijazah dual di BJTU.

Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim