Skip to main content

Muhammad Azfar hampir terlepas peluang ke Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19

GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Keterujaan sekeluarga menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 pada hari ini hampir terlerai apabila mereka sekeluarga mengalami kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan menuju ke Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang. 

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhammad Azfar Farhan Mohd Tarmizi, 22, hampir terlepas peluang naik ke pentas konvokesyen apabila kenderaan yang dipandu abangnya  mengalami kemalangan.

Namun, beliau bersyukur semua ahli keluarga selamat dan hanya luka kecil di bahagian bibir sahaja. 

Katanya, dia hadir bersama bapa, kakak dan abangnya dari Alor Setar, Kedah  dan tidak menjangka perjalanan mereka yang jauh untuk meraikan kejayaannya diuji pada hari ini dengan kemalangan jalan raya yang berlaku di Kuantan. 

“Tindakan pantas dua rakan saya iaitu Muhammad Fayyadh Harith Abd Halim dan Muhammad Syafie Notzir yang telah membawa kami memberi peluang buat kami untuk menyimpan memori indah dan merelasisikan hasrat arwah ibunya yang teringin melihat majlis konvokesyen saya.  

“Saya amat terharu dengan bantuan rakan yang sanggup berkorban sehingga mereka bertiga agak lewat masuk ke dalam dewan. 

“Alhamdulillah, para petugas UMPSA membantu mempermudahkan urusan kami sekeluarga.

“Saya amat berterima kasih dan pastinya memori ini akan diingati sepanjang hayat,” ujarnya. 

Muhammad Azfar hampir terlepas peluang ke Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19

Mengimbas kejadian pagi tadi, kenderaan mereka bertembung dengan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhadapan dengan Kolej Universiti Widad dan kejadian berlaku dengan begitu pantas sekali. 

Azfar yang baharu sahaja kehilangan ibunya Rusnii Ahmad pada 12 Ogos lalu berkata, beliau telah merealisasikan impian ibunya untuk melihatnya tamat pengajian walaupun tidak sempat meraikan bersama ibu tercinta. 

“Mak, terima kasih kerana bagi semangat kepada saya dan selalu menasihatkan agar tidak berputus asa serta jangan pernah mengalah dalam apa jua yang saya lakukan”, katanya. 

“Saya akan meneruskan hasrat arwah ibu untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya. 

Bagi bapanya, Mohd Tarmizi Hashim,56 berkata walaupun mengalami kemalangan, mereka bersyukur kerana mereka semua selamat dalam kemalangan tersebut. 

Perasaannya agak hiba mengenangkan arwah isterinya yang bersungguh-sungguh ingin menyaksikan anak mereka di pentas konvokesyen. 

“Alhamdulillah, kami semua selamat tetapi Azfar mengalami sedikit kecederaan di bahagian bibir dan mukanya.

“Saya juga bersyukur kerana dapat hadir untuk meraikan kejayaan anak saya. 

“Saya juga amat menghargai bantuan pihak universiti dalam membantu kami sekeluarga,” ujarnya. 

Azfar menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada sesi kelima Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 hari ini. 

Prihatin dengan nasib mereka sekeluarga, UMPSA menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga dengan memberikan kemudahan pengangkutan dan penginapan kepada mereka. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin turut meluangkan masa berjumpa dan menyantuni mereka sekeluarga.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri