Skip to main content

Noor Haziah raikan kejayaan tanpa bapa disisi

GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Hari konvokesyen merupakan detik yang bersejarah buat para graduan dan keluarga meraikan kejayaan mereka setelah penat lelah menuntut ilmu selama beberapa tahun akhirnya terbalas dengan kejayaan. 

Namun, perjalanan untuk mencapai puncak ini bukanlah mudah dan pastinya mempunyai onak dan duri apatah lagi memulakan pembelajaran pada tahun 2020 yang mana pada masa itu keadaan satu dunia menimpa Pandemik Covid-19. 

Bagi graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Noor Haziah Azali 26 tahun yang kini bertugas di Klinik Haiwan berkata, di sebalik kegembiraan bagi meraikan hari yang bermakna ini terselit juga kesedihan di sudut hatinya.

Noor Haziah raikan kejayaan tanpa bapa disisi

“Kejayaan yang saya nantikan ini tidak dapat diraikan bersama insan tersayang yang merupakan sumber inspirasi yang mendorong kejayaan saya selama ini. 

“Pada tahun ketiga semester 1, saya kembali ke kampus lebih awal berbanding pelajar lain kerana saya terpilih untuk menjadi fasilitator dan terjadi kisah sedih kerana baharu seminggu belajar secara fizikal serta baharu sahaja tiga minggu keluarga hantar balik ke kampus, saya telah menerima berita ayahanda saya telah jatuh sakit dan perlu ditidurkan.

“Akhirnya arwah kembali ke rahmatullah. 

“Hari yang arwah ayah saya menhantar saya ke kampus itu adalah merupakan hari terakhir saya dapat berjumpa dengannya,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat otang adik-beradik.  

Noor Haziah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri yang menerima ijazahnya di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19. 

Baginya, semua orang akan diuji dan merasai kehilangan orang tersayang apabila tiba masanya. 

“Namun, sebenarnya kenangan dengan orang yang paling disayangi ini menjadi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan. 

“Selain itu, para pensyarah, rakan sejawat dan keluarga turut sentiasa memberi sokongan dan sumber kekuatan dalam menggapai kejayaan pada hari ini. 

“Penat lelah selama empat tahun membahagikan masa antara kerjaya, akademik dan keluarga akhirnya membuahkan hasil,” katanya. 

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY