Nur Atieka Rafiekah, daripada pemain gamelan kepada penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik MUIP
PEKAN, 2 November 2026 – Dua kali berdiri di pentas konvokesyen sebagai pemain gamelan, Nur Atieka Rafiekah Razak, 23 pernah memasang impian untuk suatu hari nanti naik ke pentas yang sama sebagai penerima anugerah.
Impian itu menjadi kenyataan apabila graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Berasal dari Terengganu, beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Razak Ali, 63, seorang pesara, dan Aina Harun, 57, yang merupakan suri rumah.
Beliau berkata, pengalaman menyaksikan graduan berselempang anugerah menerima pengiktirafan ketika bermain gamelan pada Majlis Konvokesyen UMPSA tahun 2023 dan 2024 menjadi pencetus azamnya.
“Saya turut mendapatkan pandangan penyelia projek tahun akhir, senior dan penasihat akademik tentang usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai pengiktirafan itu.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila impian yang sekian lama tersemat di hati akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya penuh kesyukuran.
Baginya, anugerah tersebut melambangkan usaha sepanjang pengajian serta sokongan keluarga, pensyarah, rakan dan pihak yang membantu pembiayaannya.
Beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan (Analitik Data) dengan Kepujian di Pusat Sains Matematik (PSM) UMPSA dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84.
Sebelum itu, beliau memperoleh PNGK 3.87 dalam pengajian Asasi Kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Dengkil.
Antara pencapaian membanggakannya ialah kejayaan membangunkan sistem pengesanan pencerobohan rangkaian CAN automotif berasaskan pembelajaran mesin yang mencatatkan ketepatan sehingga 95 peratus.
Sementara itu, projek ramalan kemiskinan wilayah yang dibangunkannya mencatatkan ketepatan ramalan 77 peratus, sekali gus meraih pengiktirafan menerusi pingat perak di CITREX dan pingat emas di URIID.
Beliau turut aktif mengasah bakat dan memperluas pengalaman menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan berprestij, antaranya IURIID 2025, DOSM Datathon 2024, ISM Challenge III 2024 serta Pertandingan Poster Saintifik ASEAN-Malaysia Statistical Forum 2025.
Pengalaman itu diperkaya dengan latihan industri dalam bidang forensik digital di CyberSecurity Malaysia, yang membuka ruang kepadanya mendalami aplikasi ilmu keselamatan siber dalam persekitaran profesional.
Katanya, beliau turut membantu membangunkan ejen perbualan berasaskan model bahasa besar untuk sistem forensik dalaman, mengautomasi pengumpulan lebih 10 fail bukti digital dan menyumbang kepada pembangunan prosedur pemeliharaan data Telegram bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Kerja itu merangkumi automasi pengekstrakan lebih 1,000 mesej dan fail media,” jelasnya.
Di UMPSA, beliau pernah menjadi Timbalan Pengarah Program PSM Care yang menyelaras aktiviti tanggungjawab sosial korporat untuk lebih 50 anak yatim, menganggotai jawatankuasa multimedia dan teknikal program mobiliti bersama Thaksin University, serta terpilih sebagai seorang daripada lapan wakil universiti ke Axiata Digital Leadership Program for Girls 2024.
Kini, beliau berkhidmat di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam fungsi OSHE Performance, Jabatan Occupational Safety, Health and Environment, Sustainability Division, dengan tanggungjawab mengaplikasikan kemahiran analisis data bagi menyokong pemantauan prestasi keselamatan dan kelestarian organisasi.
Antara skop tugasnya termasuk menganalisis data keselamatan, kemalangan maut dan pengurusan sisa, selain membangunkan serta mengendalikan papan pemuka Power BI bagi membantu penyampaian maklumat secara lebih sistematik dan berkesan.
Beliau mengakui tempoh minggu kesepuluh hingga ke-14 setiap semester sering mencabar kerana tugasan dan projek perlu disiapkan serentak.
“Untuk mengatasinya, saya menyusun tugasan mengikut keutamaan dan menyelesaikan secara berperingkat, di samping mengimbangi masa belajar dengan rehat dan kehidupan bersama rakan.
“Bantuan zakat daripada UMPSA dan biasiswa TNB banyak meringankan beban kewangan serta membolehkan saya memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Saya turut menghargai bimbingan pensyarah, doa ibu bapa dan keluarga, serta sokongan rakan-rakan,” ujarnya.
Beliau berhasrat untuk terus mengembangkan kerjaya dalam bidang analitik data dan kecerdasan buatan (AI), di samping memperluas kemahiran serta menyumbang kembali kepada keluarga dan komuniti UMPSA.
Berkongsi pesanan kepada mahasiswa, beliau menekankan kepentingan menetapkan matlamat yang jelas, mengurus masa secara berdisiplin dan membuat ulang kaji lebih awal, selain tidak segan bertanya bagi memahami topik yang sukar.
Oleh: NUR HARTINI MOHD HATTA, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 10 views
Reports by: