Skip to main content

Nurin Mastura dinobat penerima Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Sukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA

GAMBANG, 8 November 2025 – Kisah ketabahan dan semangat kepimpinan menjadikan Nurin Mastura Afandi, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM), sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Sukarelawan dan Tanggungjawab Sosial sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Nurin mengharungi pelbagai cabaran termasuk kehilangan ayah ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Melaka.

Namun, beliau tetap tabah mengejar impian hingga berjaya menanggung sendiri yuran awal pengajian sebelum menerima biasiswa Maybank.

Graduan kelas pertama ini mencatat PNGK 3.75 yang cemerlang selama tujuh semester berturut-turut dan pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Ikon Business Engineering, Anugerah Dekan, pingat perak CITREX 2025, serta Axiata Digital Leader 2024. 

Dalam bidang penyelidikan pula, beliau turut menulis beberapa penerbitan antarabangsa berkaitan Transformasi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI).

Aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan, Nurin pernah memegang jawatan Presiden IMPRESS, menjadi Sukarelawan Yayasan UMPSA dan YASA, serta mewakili universiti dalam program mobiliti antarabangsa ke Indonesia, Vietnam, Korea dan Turkiye.

Kini, beliau menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) melalui laluan Fast Track dan menyertai K-Youth Development Programme (KYDP) di bawah Khazanah Nasional Berhad sebelum memulakan kerjaya bersama Maybank Group pada bulan Disember 2025.

Katanya, setiap kesusahan mengajar erti ketabahan. 

“Kejayaan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi manfaat kepada orang lain,” ujar Nurin yang berhasrat kembali menyumbang kepada UMPSA suatu hari nanti.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim