Skip to main content
Nurshadirah Sahadan harumkan nama Sabah, raih Hadiah Kecemerlangan Akademik

Nurshadirah Sahadan harumkan nama Sabah, raih Hadiah Kecemerlangan Akademik

PEKAN, 2 November 2026 – Kejayaan menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 menjadi pencapaian membanggakan buat graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurshadirah Sahadan, 24, yang turut menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA.

Anak kelahiran Kota Kinabalu yang dibesarkan di Penampang, Sabah itu membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dapat dicapai melalui disiplin, konsistensi dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri. 

Pencapaian tersebut lebih bermakna apabila beliau berjaya mengekalkan prestasi akademik cemerlang sepanjang pengajian, termasuk memperoleh PNGK 4.00 pada semester pertama serta menerima Anugerah Dekan.

Menurut Nurshadirah, cabaran terbesar sepanjang bergelar mahasiswa bukan sekadar memperoleh keputusan yang baik, tetapi mengekalkan prestasi tersebut sambil mengimbangi tuntutan akademik, kepimpinan pelajar dan komitmen terhadap pelbagai program universiti.

“Setiap semester membawa cabaran yang berbeza. 

“Saya belajar bahawa kecemerlangan bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan disiplin, komitmen dan usaha yang berterusan,” ujarnya. 

Minat terhadap bidang Analitik Perniagaan mendorong Nurshadirah menghasilkan projek tahun akhir bertajuk ‘Sentiment Analysis to Measure Customer Satisfaction of Beachfront Hotel: A Case Study of The Pacific Sutera Hotel’ di bawah bimbingan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Ts. Dr. Taufik Nursal.

Projek tersebut berjaya meraih Gold Award bagi kategori Poster Terbaik (Analitis Perniagaan) menerusi kajian yang menganalisis sentimen pelanggan berdasarkan ulasan di platform Agoda dengan menggunakan pendekatan pemprosesan bahasa semula jadi (Natural Language Processing) dan pembelajaran mesin (Machine Learning).

Kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti corak sentimen dalam ulasan pelanggan bagi membantu memahami tahap kepuasan terhadap perkhidmatan hotel. 

Bagi Nurshadirah, pengalaman itu membuka perspektif tentang potensi data sebagai sumber maklumat bernilai untuk membantu organisasi memahami keperluan pelanggan dan membuat keputusan yang lebih tepat.

Selain pencapaian akademik, beliau turut melengkapkan beberapa pensijilan profesional, termasuk Microsoft Certified: Power BI Data Analyst Associate (PL-300), Microsoft Security, Compliance, and Identity Fundamentals (SC-900) serta Lean Six Sigma White and Yellow Belt Professional Certification. 

Beliau juga mengikuti latihan Lean Transformation di Kayseri Model Factory, Türkiye, yang memperluas pemahamannya tentang penambahbaikan proses dan kecekapan operasi.

Pengalaman menjalani latihan industri di Pos Malaysia Berhad dalam bahagian People Analytics turut memberi peluang kepada beliau mengaplikasikan kemahiran analisis data dan automasi dalam persekitaran kerja sebenar.

Sepanjang pengajian di UMPSA, Nurshadirah turut aktif dalam kepimpinan pelajar, penganjuran program, kesukarelawanan dan kolaborasi antarabangsa. 

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Kediaman 1 (PEKA1) bagi sesi 2024/2025 serta diberi kepercayaan sebagai Pengarah Program Benchmarking University: Hello UMPSA! 2.0 yang melibatkan jaringan dan perkongsian amalan terbaik bersama beberapa universiti awam.

Penglibatan sebagai Ahli Jawatankuasa Protokol bagi UMPSA Global Summer Camp: Türkiye Expedition pula memberinya pendedahan kepada persekitaran antarabangsa. 

Penyertaan dalam program Collaborative Online International Learning (COIL) 2025 membolehkannya bekerjasama dengan pelajar daripada beberapa institusi pengajian tinggi, termasuk Coventry University, Deakin University, Lancaster University Indonesia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan UMPSA.

Menerusi kolaborasi tersebut, beliau terlibat dalam projek berkaitan ramalan kadar pertukaran mata wang menggunakan kerangka Explainable Artificial Intelligence (Explainable AI). 

Pengalaman memimpin pasukan dan bekerjasama dengan individu daripada pelbagai latar belakang mengajarnya tentang kepentingan komunikasi, akauntabiliti dan keterbukaan dalam menerima pandangan berbeza.

Beliau turut menyertai program kemasyarakatan seperti Program Anak Angkat Kampung Baru Salong serta pelbagai aktiviti pembangunan diri dan kesukarelawanan yang membantu memperkukuh kemahiran insaniah di luar bilik kuliah.

Mengulas pengalaman pembelajaran di UMPSA, beliau menyifatkan keseimbangan antara teori dan aplikasi praktikal sebagai antara kekuatan utama universiti dalam menyediakan graduan menghadapi keperluan industri.

“Pendedahan kepada bidang statistik gunaan, analisis data, pembelajaran mesin, visualisasi data, sistem pangkalan data dan kecerdasan perniagaan membantunya membina asas pengetahuan yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa. 

“Bimbingan pensyarah yang menggalakkan kami berfikir di luar kotak, meneroka idea baharu dan mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar menjadikan pengalaman pembelajaran lebih bermakna serta mempersiapkan saya menghadapi cabaran dunia pekerjaan. 

“Bagi saya, kelebihan graduan UMPSA bukan hanya terletak pada ilmu akademik, tetapi juga pada pengalaman yang membentuk cara berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza,” ujarnya. 

Walaupun perlu mengurus jadual padat antara tugasan akademik, mesyuarat dan penganjuran program, pengalaman tersebut mengajarnya untuk mengurus masa dengan lebih baik, menetapkan keutamaan serta menerima bahawa proses pembelajaran turut melibatkan kesilapan dan penambahbaikan.

Bagi Nurshadirah, pemilihan sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah merupakan satu penghargaan yang amat bermakna, khususnya selepas melalui perjalanan pengajian jauh dari keluarga di Sabah.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil sokongan dan doa keluarga, bimbingan pensyarah serta dorongan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama-sama menghadapi cabaran sepanjang pengajian.

“Penyumbang terbesar kejayaan saya ialah Allah SWT. 

“Saya percaya setiap peluang, kekuatan dan kemudahan yang diperoleh sepanjang perjalanan ini adalah dengan izin-Nya. 

“Malah, keluarga juga sentiasa menjadi sumber kekuatan, terutama ketika berdepan cabaran dan berjauhan dari kampung halaman,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa anugerah tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, malah menjadi dorongan untuk terus meningkatkan ilmu dan memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Selepas menamatkan pengajian, Nurshadirah kini memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjaya dalam bidang analitik, kecerdasan buatan dan automasi. 

Beliau berharap dapat memanfaatkan kepakaran tersebut untuk membantu organisasi membuat keputusan berasaskan data serta meningkatkan kecekapan proses kerja.

Sebagai anak Sabah, beliau juga berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani merebut peluang pendidikan, mencabar kemampuan diri dan tidak menjadikan latar belakang atau jarak sebagai penghalang untuk berjaya.

“Prinsip hidup saya adalah untuk sentiasa berkembang menjadi versi yang lebih baik daripada diri sendiri. 

“Saya percaya kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian yang diperoleh, tetapi juga melalui usaha yang konsisten, nilai yang dipegang dan manfaat yang dapat diberikan kepada orang lain,” katanya.

Kejayaan Nurshadirah mencerminkan bahawa kecemerlangan seorang graduan bukan sahaja terserlah melalui keputusan akademik, malah turut dibentuk oleh pengalaman, kepimpinan dan kesediaan untuk terus belajar dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Oleh: HAFIZATULAZLIN ABDUL AZIZ, PUSAT KOMUNIKAS KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri