Nurul Asyiqin raih Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden LJM, tekad sumbang kepakaran dalam Industri Rel
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kecekalan menghadapi ujian kehidupan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu membawa graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurul Asyiqin Ahmad Sapali, 25, meraih Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Anak kedua daripada enam beradik yang dibesarkan di Kuala Selangor itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.59 dan mengikuti program Dual Degree UMPSA–Beijing Jiaotong University (BJTU), China, dalam bidang Kejuruteraan.
Pengalaman menuntut di China membuka peluang kepada beliau mendalami bidang kejuruteraan dan teknologi pengangkutan rel, selain membina kemahiran komunikasi, kepimpinan serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.
Beliau turut menjalani latihan industri di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China, dengan pendedahan kepada sistem elektrik dan persinyalan kereta api, sistem bekalan kuasa serta pengaturcaraan pengawal logik boleh atur cara (PLC).
Sepanjang pengajian, Nurul Asyiqin aktif dalam aktiviti sukan, kesukarelawanan dan penganjuran program pelajar melalui Association of Malaysian Students in Beijing (AMSIB).
Malah, beliau turut terlibat dalam program kebudayaan dan diplomatik yang mengeratkan hubungan Malaysia–China.
Di sebalik pencapaian tersebut, beliau melalui cabaran besar apabila kehilangan bapanya, Allahyarham Ahmad Sapali Jamaludin, pada tahun 2021 ketika mengikuti pengajian diploma.
Pengorbanan ibunya, Suriany A Hamid, dan sokongan pensyarah dan rakan-rakan menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan pengajian.
“Saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan menghargai setiap pengorbanan ibu yang menjadi sumber kekuatan saya.
“Pengiktirafan ini amat bermakna dan menjadi motivasi untuk saya terus maju serta membanggakan keluarga,” ujarnya.
Menurut beliau, peluang mengikuti program ijazah dual di China merupakan antara pengalaman paling berharga kerana membolehkannya mempelajari ilmu baharu, mengenali budaya berbeza dan menjadi lebih berdikari.
“Saya berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus berusaha mencapai impian walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Jurutera, Perkhidmatan Kargo dan Penumpang di ECRL Operation Sdn. Bhd. dan berhasrat mengembangkan kepakaran dalam bidang Kejuruteraan serta Teknologi Pengangkutan Rel bagi menyumbang kepada pembangunan industri rel negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA atas peluang pembelajaran, bimbingan pensyarah dan pengalaman antarabangsa yang membentuk dirinya sebagai graduan yang lebih berkeyakinan, berdikari dan bersedia menghadapi alam pekerjaan.
Kisah Nurul Asyiqin diharap menjadi inspirasi kepada mahasiswa agar terus berusaha, menghargai sokongan keluarga dan menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk mencapai kecemerlangan.
Oleh: NORAINI YUSOFF, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 6 views
Reports by: