Panggilan UMPSA, ingat ‘scammer’ kini perintis program Biasiswa SULUNG KPT, Saidatulnisya genggam ijazah
PEKAN, 2 November 2026 – Tidak terfikir buat seorang ayah, berpeluang menyaksikan anaknya, Saidatulnisya Saad, 25 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berada bersama-sama graduan lain di pentas konvokesyen.
Apatah lagi mengenang kesukaran dan kekangan kewangan buat mereka sekeluarga.
Namun, panggilan telefon yang diterima pada empat tahun lalu mengubah segalanya.
Menurut bapa Saidatulnisya, Saad Sani, 58, pada mulanya, timbul rasa ragu-ragu dan bimbang sekiranya panggilan itu satu penipuan (scammer).
Namun, segala keraguan lenyap selepas pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) hadir sendiri membuat kunjungan dan menawarkan program Biasiswa Sulung selain menyerahkan surat tawaran rasmi.
Bantuan Program Biasiswa Sulung ini menjadi pemangkin buat Saidatulnisya untuk membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk beliau mencapai kecemerlangan.
Lebih manis, anak jati Gemencheh, Negeri Sembilan ini melakar sejarah apabila beliau merupakan antara graduan perintis program Biasiswa SULUNG tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mengimbau kembali detik itu, Saidatulnisya mengakui perasaannya bercampur baur antara gembira dan bimbang sebaik sahaja keputusan UPU diumumkan.
"Selepas menamatkan pengajian diploma di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), saya meletakkan UMPSA sebagai pilihan pertama dalam permohonan UPU dan sementara menunggu keputusan, saya bekerja sambilan di Tampin.
"Namun, memikirkan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga pada waktu itu, saya hampir membuat keputusan sukar untuk menolak tawaran berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, kebuntuan tersebut terlerai apabila beliau menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan universiti yang memaklumkan mengenai tawaran Biasiswa SULUNG.
Saidatulnisya berkata, peluang yang diberikan oleh pihak UMPSA dan KPT bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, malah merupakan pembakar semangat untuk saya mengejar cita-cita sehingga ke peringkat ijazah.
"Saya menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Yayasan UMPSA dan pihak KPT kerana memberi kepercayaan dan menawarkan biasiswa ini kepada saya.
“Tanpa sokongan ini, pastinya perjalanan akademik saya ke peringkat ijazah penuh dengan cabaran.
“Sepanjang menjadi penerima biasiswa ini, saya didedahkan dengan pelbagai program yang membantu membentuk sahsiah diri yang terbaik,” ujarnya.
Malah, katanya, banyak program yang membuka peluang untuk dirinya membina jaringan hubungan bersama penerima biasiswa dari universiti lain.
Kejayaan Saidatulnisya tidak datang bergolek.
Anak sulung daripada dua beradik ini merupakan seorang yang aktif dalam kokurikulum sepanjang pengajiannya.
Beliau pernah memegang jawatan penting dalam Kor Suksis sebagai Setiausaha Agong dan Setiausaha Squad.
Bukan itu sahaja, sifat kepimpinannya terserlah apabila beliau memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Kelab Anak Negeri Sembilan, selain aktif dalam program mobiliti antarabangsa.
Antaranya, beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha bagi Program Mobiliti Kembara UMPSA ke Acheh, Timbalan Pengarah bagi program sama ke Ho Chi Minh, dan kemuncaknya apabila dilantik sebagai Pengarah bagi program mobiliti ke Sydney, Australia.
Menceritakan mengenai latar belakang keluarganya, Saidatulnisya berkata, beliau menjadikan kesusahan ibu bapanya, Noraini Ibrahim, 45, yang bekerja sebagai buruh am, dan bapanya, Saad Sani, 58, yang bekerja sendiri, sebagai pembakar semangat untuk mengubah nasib keluarga.
Hasil ketabahan dan pendidikan yang diperoleh, Saidatulnisya telah melangkah ke alam kerjaya dan kini berkhidmat di Cohu Malaysia berkaitan Quality Control.
Beliau berharap kisahnya ini mampu memberi inspirasi kepada mahasiswa lain, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk terus berusaha gigih kerana pendidikan adalah kunci utama dalam mengubah masa depan.
Program Biasiswa SULUNG menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada individu pertama daripada keluarga B40 yang diterima melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) dalam negara yang belum ada dalam kalangan adik-beradik dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian di peringkat tersebut.
Biasiswa SULUNG diberikan pengecualian yuran pengajian meliputi yuran berulang dan tidak berulang (one-off) sepanjang tempoh pengajian dalam meningkatkan mobiliti sosial serta taraf dan kualiti hidup pelajar dari kalangan keluarga B40 ke satu tahap yang lebih baik melalui akses serta pembiayaan kepada pendidikan tinggi.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 12 views
Reports by: