Pasangan kembar tidak seiras Safrizal dan Safrina teruja terima ijazah UMPSA bersama
GAMBANG 26 Oktober 2024 - Pasangan kembar tidak seiras mencipta kenangan indah apabila berkongsi pentas bersama meraikan majlis graduasi mereka di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Safrizal Syazwan Zainal Hayat, 24 (abang) merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), manakala Safrina Syazwanie Zainal Hayat, 24, (adik) adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Menurut Safrizal, sejak kecil lagi mereka tidak pernah berenggang sehinggalah berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang sama ketika melangkah ke menara gading.
“Kami berdua agak teruja apabila dapat berkongsi pentas yang sama dengan adik saya.
“Di samping itu juga, ini merupakan pengalaman pertama keluarga kami menyaksikan majlis yang meriah ini.
“Walaupun saya dan pasangan kembar diraikan pada hari yang berlainan, tetapi kegembiraan itu tidak dapat digambarkan sehingga ibu bapa kami masuk ke dewan itu dua hari berturut-turut,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, terima kasih kepada kedua ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan pengorbanan sejak kami kecil hinggalah dewasa.
“Saya rasa amat bangga apabila dapat menamatkan pengajian pada masa yang ditetapkan bersama pasangan kembar saya.
“Saya masih ingat lagi, empat tahun yang lalu, ketika kami mengisi borang permohonan sambung pengajian, masing-masing tidak menjangka akan dapat belajar di universiti yang sama.
“Walaupun saya di UMPSA Pekan dan Safrina Di UMPSA kampus Gambang, ia tidak menghalang untuk kami berhubung antara satu sama lain.
“Kadang kala, ada program universiti, kami akan berjumpa,” katanya.
Pada pandangan Safrizal, kelebihan apabila ada pasangan kembar ini, ia secara tidak langsung dapat memberi dorongan antara satu sama lain tatkala menghadapi masalah atau berkongsi suka duka.
Safrizal anak pertama daripada empat orang adik-beradik itu, bercita-cita untuk menjadi Jurutera Mekanikal manakala Safrina pula kini telah bergelar Jurutera di sebuah syarikat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat