Skip to main content
Pengorbanan ayah membesarkan Ang Cheng Long seorang diri iringi kejayaan meraih Anugerah Pelajaran Diraja UMPSA 

Pengorbanan ayah membesarkan Ang Cheng Long seorang diri iringi kejayaan meraih Anugerah Pelajaran Diraja UMPSA 

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Selepas kehilangan isteri, Ang Eng Joo, 62 membesarkan anak tunggalnya, Ang Cheng Long, 24 seorang diri sambil berusaha menyokong pendidikan anaknya dengan kemampuan terbatas. 

Pengorbanan ayahnya menjadi sebahagian penting dalam perjalanan Cheng Long meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Ang Cheng Long kehilangan ibunya ketika di Tingkatan Satu akibat jangkitan kuman pada luka selepas kemalangan jalan raya. 

Ketika itu, beliau tinggal di Batu Pahat bersama ibu saudaranya, manakala selepas menyambung pengajian ke UMPSA, beliau berpindah ke Johor Bahru untuk tinggal bersama ayahnya.

Ayahnya bekerja sebagai pemandu van untuk menghantar dan mengambil pelajar pusat tuisyen. 

Dengan pendapatan yang terbatas, beliau tetap berusaha membantu anaknya meneruskan pelajaran.

“Ayah berusaha menyokong pelajaran saya dengan membayar tuisyen bahasa Melayu dan Inggeris.

“Untuk mata pelajaran lain, saya berjimat dengan meminta buku latihan terpakai daripada guru dan menggunakan buku rujukan yang dibuang di kilang kitar semula tempat ayah pernah bekerja sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Dilahirkan di Johor Bahru dan dibesarkan di Batu Pahat, beliau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chern Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datin Onn Jaafar.

Beliau pernah diejek ‘ulat buku’ kerana belajar perkara yang dianggap tidak berguna dalam kegiatan harian. 

Beliau turut diejek ‘pemalas’ kerana tidak berhenti sekolah untuk bekerja lebih awal, sedangkan ada rakan yang memilih bekerja bagi membantu keluarga.

“Saya hampir hilang motivasi,” katanya.

Melalui rakan sekelas tuisyen dari sekolah berprestasi tinggi dan sekolah berasrama penuh, Cheng Long melihat perbezaan hala tuju hidup antara mereka dengan sebahagian pelajar di sekolah menengah tempat beliau belajar.

Tambahnya, ada pelajar di sekolahnya yang terlibat dalam gejala sosial seperti gangster, manakala sebahagian yang lain berhenti belajar kerana menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak penting atau berpendapat menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi membazirkan wang ibu bapa.

“Saya cuba mengawal perasaan apabila diejek kerana tidak mahu melepaskan harapan terhadap masa depan yang diimpikan.

“Rakan-rakan kelas tuisyen menggalakkan saya supaya tidak terpengaruh dengan mengingatkan bahawa ‘segala ikhtiar memerlukan jangka masa panjang baru membuahkan hasil’.

“Mereka turut menasihati saya bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada keputusan cemerlang, tetapi juga pemilihan kursus yang memenuhi keperluan industri dan perkembangan kemahiran profesional sepanjang kerjaya,” katanya.

Minat terhadap bahasa, matematik dan kimia mendorong beliau belajar bersungguh-sungguh sejak Tingkatan Empat. Beliau sendiri memilih untuk menjawab soalan fizik, kimia dan biologi dalam bahasa Inggeris walaupun sekolahnya tidak menawarkan sistem DLP bagi aliran sains tulen.

Beliau memperoleh 10A dalam SPM 2019 dan menjadi satu-satunya pelajar di sekolahnya yang mendapat semua A pada tahun itu. Keputusan tersebut melayakkannya menerima Dermasiswa B40 daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Kimia di UMP, kini UMPSA.

Berpegang pada prinsip hidup ‘Ilmu penyuluh hidup’, beliau memperoleh PNGK 3.97 dalam diploma dan 3.86 dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, serta menerima Anugerah Dekan setiap semester bagi kedua-dua pengajian.

Antara pengalaman yang paling diingatinya di UMPSA ialah menyiapkan projek penyelidikan tahun akhir (URP), iaitu simulasi pemisahan torium dalam pemprosesan unsur nadir bumi daripada monazit menggunakan Aspen Plus.

“Projek itu mencabar kerana melibatkan pemisahan sisa radioaktif daripada unsur nadir bumi (REE) dengan prinsip kimia yang berbeza daripada tumpuan utama kepada kimia organik dan industri petroleum dalam silibus ijazah sarjana muda.

“Saya juga berdepan kekurangan bahan rujukan berbahasa Inggeris. Untuk memahami bidang tersebut, saya menterjemah sumber berbahasa Mandarin, termasuk paten dari China,” katanya.

Dengan bimbingan penyelia, beliau berjaya menghasilkan model simulasi yang berfungsi bagi membantu menangani masalah industri. Beliau berkata pengalaman itu membuktikan kemahirannya boleh digunakan untuk mengatasi masalah dalam industri kimia, termasuk bidang kimia organik dan kimia unsur nadir bumi.

Penyelidikan itu meraih pingat emas CITREX 2026 menerusi tajuk ‘Thorium-Free Rare Earth: A Simulation-Driven Approach to Sustainable and Innovative Process Design’.

Beliau turut membawa kajian berkaitan ke ICCEIB 2026 dengan tajuk ‘A Preliminary Simulation Study on Multistage Solvent Extraction Circuit Design Integrating Literature Data for Thorium Extraction in Rare Earth Elements’. Sebuah rencana berkaitan masih dalam proses semakan rakan sebaya.

Beliau juga menyertai pertandingan antarabangsa AspenTech Global Academic Innovators Challenge dengan projek ‘Process Modelling and Optimisation of Thorium Removal from REE Solutions via Extraction Column in Aspen Plus’. Projek itu menghasilkan model komputeraan bagi proses unsur nadir bumi dan menangani masalah pelupusan sisa radioaktif dalam industri berkenaan.

Kini, Cheng Long menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) laluan pantas dalam kejuruteraan kimia di UMPSA.

“Saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah institusi pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia sejak peringkat diploma.

“Penyelidikan PhD yang melibatkan kerjasama dengan industri turut memberi saya peluang untuk merancang ke arah pengiktirafan sebagai Jurutera Profesional (Ir.). Penyelia URP dan PhD saya, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zubaidah Sulaiman, telah membimbing saya serta membantu mendapatkan geran penyelidikan industri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyelianya sebagai mentor dan menghargai tenaga pengajar UMPSA yang berpengalaman dalam industri kerana membantu menghubungkan teori dengan aplikasi sebenar.

“Teori yang dipelajari bertujuan menangani masalah industri, sementara geran dan bantuan kewangan menyokong mereka yang ingin melanjutkan pengajian pascasiswazah.

“Anugerah Pelajaran Diraja itu membawa makna besar kepada saya kerana usaha saya mendapat pengiktirafan. Saya berharap pengiktirafan tersebut membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar junior.

“Jangan berputus asa apabila hasil usaha belum kelihatan dalam masa singkat. Rancang strategi dengan baik supaya usaha yang dilakukan bermakna, terutama ketika berada dalam persekitaran yang kurang kondusif,” katanya.

Selain bercita-cita menjadi pensyarah dan memperoleh pengiktirafan profesional, beliau berharap dapat melancong ke negara yang mempunyai musim berbeza.

Hasrat itu terus menjadi motivasinya untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan kekangan.

Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri