Penolong Jurutera terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat Program Separuh Masa
KUANTAN, 17 Mac 2022 – Berpegang kepada prinsip ‘sentiasa berfikiran positif walaupun berdepan dengan pelbagai ujian’, anak jati felda kelahiran Terengganu, Roszitaida Adzemin, 37, kini dapat tersenyum lebar apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat – Program Separuh Masa dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini, meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan hatta suami yang kerap tiada di sisi atas tuntutan kerjaya namun ia bukanlah pematah semangat buatnya.
Berkat sokongan dan bantuan dari keluarga tercinta dan rakan-rakan, Roszitaida atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ros menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Elektrik (Elektronik) Separuh Masa dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69.
Penolong Jurutera di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu, kampus Dungun ini merasakan UMP merupakan sebuah universiti yang sangat berprestij dan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan baik untuk pelajar mahupun staf.
“Mod pengajian juga turut dijalankan secara sepenuh masa atau separuh masa dan ini dapat membuka peluang kepada orang ramai terutama yang sedang bekerja seperti saya untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, kaedah pengajian ini secara tidak langsung akan memberi keselesaan buat orang ramai.
“Sebagai contoh, jika pelajar itu merupakan seorang pekerja dan beliau boleh memilih untuk menggunakan pengajian separuh masa dan ia tidak memberi masalah untuk melanjutkan pelajaran sekali gus tidak mengganggu waktu kerja,” ujarnya.
Tambahnya lagi, tidak dinafikan bahawa para pengajar di UMP juga sangat berkaliber dan mahir dalam bidang masing-masing di samping kemudahan fasiliti yang sentiasa mengikut peredaran masa.
Roszitaida yang menyambung pengajian peringkat sarjana di UMP berharap dapat menamatkan pengajian secepat mungkin sekali gus dapat mencurahkan ilmu yang diperoleh untuk dimanfaatkan dalam pembangunan diri dan juga kerjaya.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 728 views