Pensyarah UTeM terima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA
GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Seorang pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ts. Dr. Mohd Farid Ismail, 39, menempa kejayaan apabila beliau berjaya menamatkan pengajian ijazah kedoktorannya dalam tempoh tiga tahun meskipun dilanda cabaran pandemik COVID-19 semasa tempoh pengajiannya.
Anak kelahiran Negeri Bersejarah, Melaka itu telah melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada tahun 2019 yang lalu.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Jurutera Pengajar di UTeM pada tahun 2010 dan kemudian menjawat jawatan sebagai pensyarah di universiti yang sama dalam bidang Sistem Penyejukan dan Penyamanan Udara bermula tahun 2015.
Sebagai seorang pensyarah dan seorang bapa kepada lima orang cahaya mata, Mohd Farid mengakui bahawa pengurusan masa dan komitmen adalah antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi.
Namun, pengalaman hidup yang kaya dengan tanggungjawab keluarga turut memberikan perspektif yang unik kepada Mohd Farid.
“Mengimbangkan tanggungjawab keluarga dengan tuntutan sebagai pelajar bukanlah perkara mudah, tetapi ia telah menguatkan saya dalam menghadapi cabaran dan mengejar impian pendidikan saya.
"Saya percaya bahawa memiliki tanggungjawab keluarga sebenarnya memperkukuhkan tekad dan ketekunan saya dalam menuntut ilmu.
“Anak-anak saya adalah sumber kekuatan dan inspirasi bagi saya untuk terus berusaha,” ujarnya.
Beliau juga turut membuktikan bahawa semangat dan keazaman adalah faktor yang lebih penting dalam mencapai sesebuah kejayaan.
Dengan sokongan dan bimbingan daripada rakan-rakan pascasiswazah dan juga pensyarah, beliau berjaya menghasilkan kertas-kertas artikel dan jurnal yang berimpak tinggi walaupun pada awalnya agak lemah dalam penulisan akademik.
Kejayaan terbesar Mohd Farid adalah apabila hasil penyelidikannya diangkat sebagai Automotive Excellent Award dan Gold Medal dalam Pertandingan CiTREX 22.
Prinsip hidupnya, ‘usaha adalah tanggungjawab kita, hasil dan keputusan adalah hak Allah SWT," menjadi landasan dalam mengejar cita-citanya.
Mohd Farid juga berhasrat untuk menjadi seorang pensyarah cemerlang yang dapat memberi sumbangan besar kepada perkembangan intelektual anak didik dan kemajuan negara.
Prestasi cemerlang yang dicapai oleh Mohd Farid Ismail turut memberikan bukti yang kukuh bahawa dengan kesungguhan dan ketekunan, seseorang mampu merealisasikan impian dan matlamat hidup tanpa mengira faktor usia atau latar belakang.
Dengan semangat dan keazaman yang sungguh tekun, beliau akhirnya berjaya melalui cabaran dan rintangan dalam perjalanan mencapai PhD.
Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat
- 260 views