Pro-Canselor UMPSA, KDPM Tengku Mahkota Pahang titah graduan jaga tingkah laku dan integriti
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertitah agar graduan menjaga tingkah laku dan integriti.
“Saya juga tidak mahu graduan UMPSA terlibat dengan aktiviti yang salah di sisi undang-undang,” titahnya.
Baginda berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Ke-19 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang hari ini.
Tuanku Pro-Canselor mencemar duli bagi menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 348 orang penerima ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah sarjana serta 64 orang graduan ijazah dan 21 orang penerima anugerah kecemerlangan pada Sesi 1.
Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada 5,115 orang graduan atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.
“Jadikanlah kejayaan pada hari ini sebagai pemangkin ke arah pembentukan masa depan yang lebih indah dan bermakna.
“Ucapan tahniah juga ditujukan kepada para ibu bapa dan keluarga atas dorongan serta sokongan mereka sepanjang tempoh pengajian para graduan di UMPSA,” titah Tengku Hasanal.
Baginda juga menzahirkan keyakinannya dengan keunggulan UMPSA sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional aras tinggi yang mampu melahirkan graduan berkualiti.
“Saya mahu graduan lepasan UMPSA menjadi rebutan kepada majikan di luar sana.
“Sebut sahaja UMPSA, kualiti dan kecemerlangan graduan kita tidak akan dinafikan,” titahnya.
Baginda Tuanku Pro-Canselor turut mencemar duli menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.
Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim merupakan Naib Canselor UMPSA ketiga yang berkhidmat selama 11 tahun bermula dari tahun 2008 hingga 2019.
Ketokohan beliau terserlah apabila kini dilantik sebagai Rektor di Oxus University, Uzbekistan yang menyaksikan kecemerlangan pentadbiran beliau memimpin institusi terkemuka dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada dua orang graduan iaitu Fatini Nasuha Ahmad Puad, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dan Choong Wai Kit, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia.
Manakala Anugerah Canselor pula dianugerahkan kepada Muhammad Sofwan Sapiyan, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dan Anugerah Pro-Canselor dianugerahkan kepada Muhammad Shafiq Danial Eizmeer Johar, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian.
Anugerah Naib Canselor pula dimiliki oleh Loo Chang Herng, Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian manakala Anugerah Emas Universiti dianugerahkan kepada Leong Ying Foo, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan Lee Jen Sen, Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Selain itu, buat pertama kalinya tiga orang graduan perintis program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian iaitu seorang dari UMPSA iaitu Lim Yeow Hong dan dua orang dari Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan menerima dua ijazah serentak bagi program kerjasama ijazah dual iaitu Serikova Zhaniya dan Akshimbayez Danil.
Keberangkatan tiba Tengku Hassanal pada majlis itu disambut Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang bermula hari ini menyaksikan seramai 5,115 orang graduan bagi tahun 2024 yang terdiri daripada graduan ijazah doktor falsafah (83) dan ijazah sarjana (180), ijazah sarjana muda (2538), ijazah dual (64) dan diploma (533) serta graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced (1,717) menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 213 views