Puteri Nurulain graduan TVET terima Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff UMPSA
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Puteri Nurulain Rahimin, 25 berasa terkejut dan tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)Ke-19 hari ini.
Katanya, beliau tidak pernah terfikir untuk mendapat sebarang anugerah kerana di luar sana masih ramai lagi pelajar-pelajar yang lebih bagus.
“Walau bagaimanapun, saya tetap rasa bersyukur diberi peluang dan penghargaan sebegini.
‘Ternyata, segala penat lelah saya terbalas akhirnya,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman.
Puteri berjaya menamatkan pengajiannya selama empat tahun di UMPSA dan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Dibesarkan di Johor, Puteri mempunyai kelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di Institut Latihan Perindustrian, Pasir Gudang sebelum melanjutkan pengajiannya di UMPSA.
Katanya lagi, kejayaan terbesar buat dirinya sewaktu melanjutkan pengajian di UMPSA adalah memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester.
“Pencapaian ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada usaha dan dedikasi saya dalam akademik, tetapi juga menjadi motivasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” ujarnya.
“Di UMPSA, saya turut bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan memegang beberapa jawatan penting.
“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika saya terlibat sebagai sukarelawan untuk membantu mangsa banjir,” katanya.
Pengalaman itu memberikan beliau peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyaksikan kesusahan yang dihadapi oleh orang lain.
Tambah Puteri lagi, melalui aktiviti sukarelawan, beliau belajar tentang pentingnya semangat kesukarelawanan, kerja berpasukan, dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Ia juga turut mengajar saya erti bersyukur dengan apa yang saya miliki dan bagaimana kita semua boleh memberi impak positif dalam kehidupan orang lain.
“Pengalaman belajar di UMPSA amat menyeronokkan kerana universiti menyediakan kemudahan yang moden, program akademik berorientasikan industri, dan pendekatan praktikal yang mempersiapkan pelajar untuk kerjaya akan datang.
“Tenaga pengajarnya berkelayakan dan hubungan dengan industri membuka peluang latihan serta pekerjaa,” katanya.
Selain itu, katanya kampus aktif dengan aktiviti kokurikulum dan asrama yang selesa, menjadikan pengalaman pelajar lebih lengkap.
Puteri kini telah memulakan kerjayanya sebagai Jurutera di Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. di Kuching dan berhasrat untuk mengubah nasib keluarganya dengan memberi kehidupan yang lebih baik serta selesa.
Beliau ingin membalas segala pengorbanan dan usaha keluarganya dengan memastikan kejayaan dalam kerjayanya sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup seluruh keluarganya.
Selain itu juga katanya, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat dan negara, menyumbang melalui ilmu serta kemahiran yang telah saya peroleh sepanjang perjalanan pendidikan dan pengalaman kerja saya,”, katanya ketika mengakhiri perbualan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat