Skip to main content

Segulung ijazah seribu kenangan buat Robiatul

KUANTAN, 20 Mac 2022 – Anak kelahiran Raub Pahang, Robiatul Adawiyah Sapia’i, 26 membuktikan bahawa anak petani juga mampu melanjutkan pengajian hingga ke peringkat menara gading dan mampu mencipta kecemerlangan dalam kerjaya.  

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) ini bersyukur apabila dipilih menerima Anugerah Profesor Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 baru-baru ini.

Selain memperoleh keputusan yang cemerlang dan bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum di universiti, beliau menjadikan ibunya  Norhayati Alias, 59 dan bapanya, Sapia’i  Kussin, 66, serta keluarganya sebagai sumber inspirasi dan pemangkin untuk menghabiskan pengajian diploma dan ijazah sarjana muda selama enam tahun berada di UMP dengan jayanya.

Segulung ijazah seribu kenangan buat Robiatul

“Mereka selalu mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buat saya agar sentiasa berusaha dan tidak berputus asa. 

“Selain itu, para pensyarah dan kawan-kawan juga turut banyak berjasa sepanjang proses pembelajaran di universiti ini.

“Walau betapa jerih payah mereka membesarkan kami adik-beradik termasuk seorang abang saya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka berdua tidak pernah berputus asa,” katanya.

Malahan, katanya, abang-abangnya juga banyak membantu dari segi fizikal dan mental sepanjang menghabiskan pengajiannya di universiti.

“Setiap kali saya terfikir untuk berputus asa, mereka selalu memberi kata-kata motivasi yang sangat membantu untuk saya terus mengejar impian dan kejayaan. 

“Berkat doa dan titik peluh mereka juga, saya berjaya hingga kini. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Robiatul amat menghargai sumbangan anugerah oleh Allahyarhamah Profesor Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff yang banyak menyumbang terhadap kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan serta kebajikan mahasiswa.  

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri