Skip to main content
Seimbang akademik dan kokurikulum, Intan Nur Syahira cipta kecemerlangan terima Anugerah Kecmerlangan Dimension Bid Sdn. Bhd.

Seimbang akademik dan kokurikulum, Intan Nur Syahira cipta kecemerlangan terima Anugerah Kecmerlangan Dimension Bid Sdn. Bhd.

PEKAN, 2 November 2026 – Kejayaan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.90 serta menerima Anugerah Dekan pada setiap semester menjadi bukti kesungguhan Intan Nur Syahira Noor Azman, 23, dalam mengejar kecemerlangan akademik sepanjang pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Graduan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini turut menerima Anugerah Kecmerlangan Dimension Bid Sdn. Bhd. sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya. 

Lebih membanggakan, beliau berjaya menerbitkan artikel penyelidikan bertajuk ‘Assessing Behaviour-Based Safety (BBS) Programs Through an Applied Psychology Framework: A Manufacturing Industry Case Study dalam Journal of Occupational Safety and Health’ terbitan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Merlimau, Melaka ini menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha berterusan, disiplin serta sokongan keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatannya.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka akan terpilih menerima anugerah ini. 

“Saya amat bersyukur dan terharu kerana segala usaha sepanjang pengajian mendapat pengiktirafan.

“Namun, perkara paling bermakna bagi saya ialah apabila dapat membanggakan ibu dan bapa yang banyak berkorban demi memberikan yang terbaik untuk keluarga,” ujarnya. 

Menurutnya, perjalanan sepanjang pengajian bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya ketika perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kepimpinan mahasiswa.

Pada tahun pertama, beliau mula menyertai program universiti bagi mengembangkan potensi diri dan membina rangkaian persahabatan. 

Bagaimanapun, apabila menyedari pencapaian akademiknya belum mencapai sasaran, beliau mengambil langkah untuk memberikan lebih perhatian kepada pelajaran pada tahun kedua.

Pengalaman tersebut membuka perspektif baharu apabila beliau menyedari bahawa kecemerlangan akademik dan pembangunan kemahiran insaniah perlu bergerak seiring. 

Memasuki tahun ketiga, sesi 2024/2025, beliau berusaha mencari keseimbangan antara kedua-duanya meskipun perlu mengurus projek tahun akhir, tugasan akademik dan komitmen program universiti secara serentak.

Hasilnya, beliau bukan sahaja berjaya mengekalkan prestasi akademik, malah turut memegang beberapa tanggungjawab kepimpinan, antaranya sebagai Exco Sukan Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 1 (PEKA 1) bagi sesi 2024/2025, Pengarah Program Fire Drill 5.0 Kolej Kediaman 1 serta Timbalan Pengarah Colourwave Run 2025.

Beliau juga terlibat sebagai bendahari Program Mobiliti Global Insight and Cultural Exchange (GICE) ke Seoul, Korea Selatan, selain menyertai pelbagai program kesukarelawanan, kepimpinan dan kesedaran keselamatan.

“Pengalaman ini mengajar saya tentang kepentingan pengurusan masa, disiplin dan keberanian untuk keluar daripada zon selesa. 

Saya belajar bahawa kita tidak semestinya perlu mengorbankan satu aspek untuk berjaya dalam aspek yang lain, sebaliknya perlu bijak mengatur keutamaan,” jelasnya.

Minat terhadap bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diperkukuh melalui pendekatan pembelajaran UMPSA yang menggabungkan teori, latihan amali dan pendedahan industri. 

Sepanjang pengajian, beliau berpeluang menjalankan pengukuran pendedahan pekerjaan seperti haba, bunyi bising dan kualiti udara dalaman, selain menyertai lawatan tapak industri untuk memahami pengenalpastian bahaya dan kawalan risiko di tempat kerja.

Beliau turut mengikuti kursus Occupational Safety and Health Coordinator (OSH-C) di bawah National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH) bagi memperluas pengetahuan serta meningkatkan kemahiran profesional dalam bidang berkenaan.

Menurut Intan Nur Syahira, pengalaman menjalani latihan industri di AeroDarat Services Sdn. Bhd. di bawah jabatan Quality Assurance, Safety, Security and Compliance (QASSC) merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian.

Pendedahan kepada pengurusan keselamatan dalam operasi pengendalian darat penerbangan memberinya peluang memahami amalan keselamatan di tempat kerja sebenar, di samping mengasah pemikiran kritis, komunikasi profesional dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Beliau turut menghargai peranan pensyarah yang memberikan bimbingan serta peluang pembelajaran, selain sokongan rakan-rakan seperjuangan yang bersama-sama menghadapi cabaran akademik dan melaksanakan pelbagai tugasan.

“Bagi saya, UMPSA bukan sahaja menyediakan asas ilmu dalam bidang pengajian, malah memberi ruang kepada mahasiswa untuk membina keyakinan diri, kepimpinan dan kemahiran kerja berpasukan melalui pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah,” katanya.

Mengambil inspirasi daripada prinsip hidup ‘The pain of discipline is far less than the pain of regret’ dan ‘Man Jadda Wajada’, beliau percaya bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, pengorbanan dan kesediaan untuk terus memperbaiki diri.

Pada 2 November 2026, beliau bakal memulakan kerjaya sebagai Site Safety Coordinator di M.E.I. Consultants Sdn. Bhd. dan ditempatkan di projek pembinaan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. di Batu Berendam, Melaka. 

Tanggungjawab tersebut akan memberinya peluang terlibat secara langsung dalam pemantauan pematuhan prosedur keselamatan, pemeriksaan tapak serta pengenalpastian bahaya dan risiko pekerjaan.

Bagi perkembangan kerjaya, beliau menyasarkan untuk mendapatkan pendaftaran Yellow Book sebelum melangkah ke arah kelayakan sebagai Site Safety Supervisor (SSS). 

Dalam jangka panjang, beliau berhasrat memperoleh pengiktirafan Green Book sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer, SHO) yang berkelayakan, di samping melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Hasrat untuk melanjutkan pengajian turut didorong oleh bapanya, Dr. Noor Azman Hasan, yang memiliki kelayakan Doktor Falsafah dan menjadi inspirasi kepadanya untuk terus menimba ilmu.

Beliau berharap ilmu dan pengalaman yang bakal dikumpulkan dapat dimanfaatkan untuk menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam membudayakan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat.

Mengakhiri perbualan, beliau menitipkan pesanan kepada pelajar UMPSA agar tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan potensi diri sepanjang berada di universiti.

Katanya, jangan terlalu fokus pada akademik sehingga terlepas peluang menyertai aktiviti universiti, dan jangan pula terlalu aktif sehingga mengabaikan pelajaran. 

“Akademik membina asas ilmu, manakala kokurikulum mengembangkan kemahiran insaniah, kepimpinan dan keyakinan diri. 

“Manfaatkan setiap peluang kerana pengalaman inilah yang turut membentuk kita menjadi graduan berkualiti,” jelasnya. 

Oleh: HAFIZATULAZLIN ABDUL AZIZ, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri