Skip to main content

Sharifah Fadhilah raih Hadiah Kecemerlangan Industri: BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd.

KUANTAN, 17 Mac 2022 - Aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang di universiti, di samping cemerlang dalam akademik ternyata berbaloi buat Sharifah Fadhilah Syd Mohd Fuzi, 26, apabila menerima Hadiah Kecemerlangan Industri: BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini. 

Anugerah disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. 
 
Sharifah Fadhilah berkata, beliau tidak menjangka terpilih sebagai penerima anugerah berkenaan memandangkan ramai lagi graduan yang berpotensi, namun bersyukur kerana terpilih pada majlis konvokesyen kali ini. 
 
Beliau yang kini sedang bertugas sebagai Jurutera Proses Pembuatan (Manufacturing Process Engineer) di ExxonMobil Business Support Centre Sdn. Bhd. merasakan komitmen yang diberikan dalam pengajian dan aktiviti di UMP banyak memberikan ilmu untuk  dipraktikkan di alam pekerjaan

Sharifah Fadhilah raih Hadiah Kecemerlangan Industri: BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd.

Katanya, mahasiswa kini perlu mempunyai pelbagai kemahiran seiring dengan pencapaian akademik kerana ia dapat menonjolkan diri pada masa hadapan terutama untuk kebolehpasaran graduan. 
 
“Saya bersyukur bergelar graduan UMP kerana bagi saya UMP memiliki sistem pembelajaran yang bagus. 

“Kekuatan UMP dalam melahirkan graduan berkualiti adalah dengan menekankan kepada pembelajaran secara amali dan praktikal.

“UMP tidak hanya memberi pengajaran secara teori semata-mata,” katanya

Sharifah Fadhilah raih Hadiah Kecemerlangan Industri: BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd.

Justeru, katanya, ini adalah sangat penting apabila mahasiswa menjejakkan kaki ke dalam latihan industri mahupun memulakan kerjaya.
 
“Ini yang saya rasakan apabila menjalani latihan industri, kebanyakan dapat diaplikasikan  kerana menepati kriteria yang diperlukan oleh seorang Jurutera Kimia. 
 
“Malah tenaga pengajar juga banyak membantu mahasiswa  dalam  memperbaiki  diri  bukan sahaja dari sudut kecemerlangan akademik malah keyakinan diri dan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan. 
 
“Terima kasih kepada keluarga dan pihak UMP yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan saya pada hari ini,” katanya. 
 
Sepanjang di UMP beliau turut aktif dalam persatuan Sekretariat Mahasiswa Anak-anak Pahang (SeMampan) dan sering memegang jawatan besardalam penganjuran program universiti. 

Beliau juga pernah diamanahkan tanggungjawab sebagai Pengarah Program Kesukarelawan: Program Koi Sayang Alam Sekitar, Program Inovasi: National Chemical Engineering Symposium (NACES 2019), Program Kebudayaan: Festival Citra Seni, Program Akademik: Reach Out English Academic dan lain-lain lagi. 
 
Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini juga aktif dalam  pertandingan penyelidikan dan pernah meraih anugerah khas dan pingat emas sepanjang dalam pengajian antaranya seperti Anugerah Khas International Federation of Chemical Inventors’ (IFIA) 2019, International Warsaw Invention Show 2019 dan International Festival of Innovation on Green Technology (2019).

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris