Suami isteri sebak terima Anugerah Anumerta anak
KUANTAN, 17 Mac 2022 - Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan oleh sepasang suami isteri tatkala menerima ijazah Allahyarham anaknya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Allahyarham Muhammad Amirul Muizz, 24, telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun lalu sewaktu dalam perjalanan menuju ke Bukit Goh untuk menjalani latihan industri.
Beliau yang merupakan bekas penuntut di Fakulti Pengurusan Industri (FPI) di UMP adalah pelajar tahun akhir dan bakal menamatkan pengajiannya selepas menjalani latihan industri di agensi tersebut.
Lebih memilukan kejadian tersebut disaksikan oleh kedua ibu bapanya yang membuntuti Allahyarham untuk menghantar keperluan di rumah sewanya.
Menurut ibu Allahyarham, Pazilah Haron, 54, masih segar dalam ingatan pada waktu itu, perjalanan dari Bera ke Kuantan untuk mengiringi anak ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri di sebuah industri di Bukit Goh.
“Seperti kebiasaan, apabila arwah pulang ke kampus dengan menaiki motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan.
“Rupanya pada waktu itu, adalah saat akhir kami dapat bersamanya, siapa sangka tidak sampai 15 minit lagi untuk sampai ke rumah sewanya di Kuantan, Allahyarham Amirul Muiz terlibat dalam kemalangan.
“Lebih menyayat hati kejadian itu disaksikan di depan mata kami sendiri,” katanya hiba.
Tambahnya lagi, masih terngiang di ingatan saya yang Allahyarham berhasrat untuk memakai pakaian segak ketika di hari konvokesyennya dan bergambar di sekitar UMP Pekan dan Kampus Gambang.
"Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan UMP untuk menerima ijazah yang sangat diidamkan oleh Allahyarham anakanda kami," ujar bapa Allahyarham, Taha Sulaiman Mohd. Shariff, 54.
Taha yang hadir bersama isterinya Pazilah Haron, 54, menerima Anugerah Anumerta yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di dewan berkenaan sebelum majlis penganugeraharan kepada para graduan.
"Harapan saya adalah supaya anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran MARA, Pekan supaya mengikuti jejak langkah Allahyarham abangnya yang menyambung pengajian di UMP.
“Sejak Allahyarham meninggal dunia, pihak UMP sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan yang berkaitan akademik termasuklah bersetuju untuk menamatkan pengajian beliau dengan mengurniakan ijazah ini.
"Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan kami sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan kami akhirnya tercapai," katanya.
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat dan Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP.
- 271 views